‘Saya tak boleh tidur akibat begitu ramai mayat kanak-kanak saya saksikan’, kata penggali kubur Gaza
Saadi sudah tak lalu makan, semalam sahaja hampir 600 syuhada dikebumikan

GAZA, 27 Rabiulakhir 1445H, Sabtu – Seorang penggali kubur Palestin yang berusia 63 tahun, Saadi Baraka berkata, beliau telah menggali kubur untuk sejumlah besar kanak-kanak dan wanita yang syahid sejak permulaan perang pada 7 Oktober.
Walaupun itu adalah pekerjaannya, Saadi berkata, apa yang dia saksikan pada masa ini adalah melebihi apa-apa pada masa lalu, sehingga dia tidak boleh tidur atau makan.
Serangan rejim pengganas Israel di Gaza membawa kepada tragedi besar, dengan sekurang-kurangnya 70 peratus daripada mangsa serangan udara Israel adalah kanak-kanak dan wanita.
“Kami terpaksa melakukan ini (menggali kubur besar). Tiada tempat untuk menampung jumlah mayat ini setiap hari, dan tiada blok (papak simen diletakkan di atas mayat dalam kubur). Semuanya telah habis di Gaza.
“Semalam, saya mengebumikan hampir 600 syuhada, lebih banyak daripada yang saya kebumikan dalam tempoh lima tahun lalu. Saya tidak pernah melihat kekejaman sebegitu. Majoriti yang saya kebumikan adalah wanita dan kanak-kanak,” katanya.
Menurut Saadi, setiap kubur bersaiz kira-kira 6 meter, dan sekitar 45 orang dikebumikan di dalamnya.
Manakala kubur terbesar menempatkan 137 orang.

Bagi mayat yang tidak dikenali, dia menyatakan mereka dikebumikan seperti yang lain, dan dia menolak kemungkinan kubur akan digali selepas perang untuk mengenal pasti mayat.
Dalam pada itu, Saadi memberitahu Anadolu tentang penderitaannya semasa hari kerjanya yang panjang.
“Saya tidak boleh tidur kerana banyaknya mayat kanak-kanak yang saya lihat. Apa salah anak-anak ini?
“Kami tidak mencari bantuan dan makanan. Kami telah berusaha untuk keamanan sejak zaman Abu Ammar (bekas Presiden Palestin, Allahyarham Yasser Arafat). Sementara itu, Netanyahu hanya mengejar pertumpahan darah.
“Kami berusaha untuk hidup dengan maruah dan kebebasan, untuk memiliki negara, kedaulatan. Saya mahu menjadi warganegara seperti mana-mana di dunia.
“Mereka yang menghantar bantuan harus mencari langkah lebih sesuai untuk membolehkan kami hidup sebagai warganegara di negara sendiri, sama seperti yang berlaku di mana-mana negara lain,” katanya. – Agensi