Dunia

Bayi di Hospital Al-Quds alami dehidrasi angkara Zionis

Tentera pengganas Israel makin agresif serang kawasan hospital

GAZA, 28 Rabiulakhir 1445H, Ahad – Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin mendedahkan bayi di Hospital Al-Quds di Gaza menderita dehidrasi, ekoran serangan tanpa henti pengganas Israel ke atas hospital itu.

“Bayi di Hospital Al-Quds mengalami dehidrasi kerana kekurangan susu,” tulis organisasi hak asasi manusia itu di akaun media sosial, X.

Katanya, kakitangan perubatan di hospital terbabit juga bekerja sepanjang masa walaupun bekalan elektrik terputus dan Israel semakin agresif melancarkan serangannya ke kawasan itu.

Presiden Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC), Fransisco Rocca menggesa masyarakat antarabangsa membantu menyelamatkan bayi di Gaza.

“Cukuplah! Bagaimana masyarakat antarabangsa boleh menerima keadaan di Gaza?

“Nyawa bayi di dalam inkubator dan pesakit di ICU di Hospital Al-Quds kini berisiko,” katanya dalam hantaran di platform media sosial sama.

Israel telah melancarkan serangan udara dan darat tanpa henti ke atas Semenanjung Gaza – termasuk hospital, kediaman dan rumah ibadat – sejak serangan rentas sempadan pejuang Hamas pada 7 Oktober lalu.

Sekurang-kurangnya 11,087 rakyat Palestin dibunuh dalam serangan Israel, termasuk 4,506 kanak-kanak dan 3.027 wanita.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button