
GAZA, 28 Rabiulakhir 1445H, Ahad – Tentera pengganas Israel sekali lagi mengebom Hospital Al-Shifa pada Sabtu, yang menyasarkan Unit Rawatan Rapi (ICU) sehingga mencederakan beberapa kakitangan perubatan bertugas.
Serangan terkini rejim turut menyebabkan beberapa pesakit bayi berisiko maut akibat kekurangan oksigen selepas bekalan elektrik di kompleks perubatan terbabit diputuskan.
Kejadian itu dikongsikan pertubuhan bukan kerajaan yang berpangkalan di United Kingdom (UK), Medical Aid for Palestinians sebagai merujuk kenyataan dikeluarkan Ketua Jabatan Pembedahan Hospital Al-Shifa, Dr Marwan Abu Sada di akaun media sosial, X.
Dr Marwan melaporkan beberapa kecederaan kepada kakitangan yang bertugas di ICU dan Hospital Al-Shifa.
Katanya, kakitangan perubatan yang bergerak di antara bangunan telah ditembak dan cedera parah.
Bahkan, mereka yang cuba melarikan diri turut diserang dan mustahil untuk tindakan penyelamatan dilakukan.
Menurut Dr Marwan, dengan penutupan bilik mayat, kira-kira 100 jenazah bertimbun dan tidak boleh dikebumikan.
“Elektrik sudah tiada, kakitangan terpaksa memberikan oksigen melalui tangan, dan bayi di ICU neonatal juga mula meninggal dunia akibat kekurangan oksigen.
“Peperangan Israel terhadap hospital mesti ditamatkan,” kata Dr Marwan.
Terdahulu, jurucakap tentera Israel mendakwa kononnya rejim terbabit dalam konflik sengit dengan pejuang Hamas di sekitar Hospital Al-Shifa, tanpa memberikan butiran lanjut.
Israel telah melancarkan serangan udara dan darat tanpa henti ke atas Semenanjung Gaza – termasuk hospital, kediaman dan rumah ibadat – sejak serangan rentas sempadan pada 7 Oktober lalu.
Sekurang-kurangnya 11,078 rakyat Palestin syahid, termasuk 4,506 kanak-kanak dan 3,027 wanita.- Agensi