‘Tiada lagi tempat selamat di Gaza’
Israel kepung Hospital Al-Shifa, tembak siapa saja cuba larikan diri

GAZA, 28 Rabiulakhir 1445H, Ahad – Pejabat PBB untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) menggesa perlindungan ke atas orang awam dan infrastruktur awam kerana tiada lagi tempat yang selamat di Semenanjung Gaza.
Agensi itu menegaskan bahawa 279 sekolah dan 135 kemudahan kesihatan yang menjadi tempat berlindung penduduk Gaza terjejas serta rosak teruk akibat serangan ganas rejim Israel.
“Tiada tempat yang selamat, malah hospital dan sekolah. Orang awam dan infrastruktur awam mesti dilindungi setiap masa.
“Kerosakan besar telah dilakukan ke atas infrastruktur penting di Gaza, menjejaskan keupayaan orang ramai untuk mengekalkan keselamatan mereka,” kata OCHA dalam kenyataan di X.
Terdahulu, seorang doktor di Hospital Al-Shifa, Dr Fadia Malhis mendedahkan tentera Israel mengepung kompleks perubatan itu dan menembak sesiapa sahaja yang cuba melarikan diri.
“Tentera Israel mengepung kawasan hospital dan mereka berada tidak sampai satu meter jaraknya di depan pintu. Mereka menembak sesiapa sahaja yang mahu keluar dari hospital.
“Jika sesiapa bergerak antara unit, mereka tembak dan terdapat ramai syahid di perkarangan depan bilik kecemasan. Keadaannya sangat teruk dan sukar digambarkan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Bantuan PBB, Martin Griffiths menegaskan tiada alasan untuk tindakan perang ke atas kemudahan penjagaan kesihatan, termasuk membiarkan orang awam tanpa bekalan elektrik, makanan serta air dan menembak pesakit yang cuba melarikan diri.
“Ini tidak wajar, perbuatan tercela dan mesti dihentikan.
“Hospital mesti menjadi tempat lebih selamat dan mereka yang memerlukan percaya bahawa mereka hospital adalah tempat perlindungan bukan tempat perang,” katanya.- Agensi