
KAHERAH, 29 Rabiulakhir 1445H, Isnin – Sebanyak 76 lagi trak bantuan telah masuk ke Semenanjung Gaza melalui pintu sempadan Rafah dengan Mesir pada Ahad, menurut Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin.
Organisasi kemanusiaan itu berkata, trak mengangkut bekalan penting ke wilayah itu, termasuk perubatan, makanan, air dan bahan bantuan lain.
Katanya, sehingga kini pihak berkuasa Israel masih belum membenarkan bahan api memasuki wilayah Semenanjung Gaza yang terkepung.
Setakat ini, sebanyak 980 trak bantuan telah memasuki wilayah Gaza sejak 21 Oktober lalu.
Selama lebih sebulan, rejim Israel telah menyerang semua bahagian di Semenanjung Gaza, manakala operasi daratnya memberi tumpuan mengasingkan bahagian utara wilayah dan membawa masuk lebih ramai pasukan tentera.
Sejak 7 Oktober lalu, Israel melakukan serangan udara dan darat tanpa henti di Semenanjung Gaza, termasuk hospital, kediaman dan rumah ibadat.
Susulan serangan itu, jumlah kematian rakyat Palestin kini melepasi 11,100 orang termasuk, termasuk lebih 8,000 kanak-kanak dan wanita.- Agensi