Gaza: Sukar kira angka korban terkini akibat gangguan komunikasi
Hospital Al-Shifa jadi padang terbuka penembak tepat rejim Israel

GAZA, 29 Rabiulakhir 1445H, Isnin – Kementerian Kesihatan Gaza tidak dapat mengira jumlah korban terkini di Semenanjung Gaza berikutan gangguan komunikasi dan internet di wilayah terkepung itu.
Jurucakap kementerian, Ashraf al-Qudra dalam kenyataan menyifatkan, serangan berturut-turut ke atas Hospital Al-Shifa dan sekitarnya adalah melangkaui malapetaka.
Beliau berkata, hospital berkenaan berdepan serangan rejim pengganas Israel daripada setiap penjuru.
Menurut Ashraf, terdapat ramai mangsa yang terbunuh dan cedera dibiarkan terbaring di atas tanah di pintu hospital terbabit.
“Kawasan perkarangan hospital telah bertukar menjadi padang terbuka untuk penembak tepat dan kenderaan udara tanpa pemandu Israel.
“Tentera Israel menyasarkan setiap orang yang bergerak,” katanya.
Beliau berkata, kira-kira 20,000 orang berada di dalam hospital, termasuk keluarga yang kehilangan tempat tinggal, kakitangan perubatan dan mereka yang cedera.
Katanya, seorang bayi di unit rawatan rapi (ICU) disahkan meninggal dunia pada Ahad kerana kekurangan oksigen dan peralatan sokongan, yang menggambarkan keperluan mendesak kepada bekalan perubatan.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan Palestin, Mai al-Kaila berkata, 39 bayi dalam ICU neonatal di Hospital Al-Shifa berada dalam keadaan berisiko kerana kekurangan oksigen.
Bahkan, 22 daripada 35 hospital di Gaza juga tidak lagi boleh beroperasi sejak 7 Oktober kerana serangan tanpa henti Israel dan kekurangan bekalan bahan api.- Agensi