Berita UtamaDunia

37 hospital di lapan wilayah Mesir sedia terima pesakit Palestin

Kementerian Kesihatan bentuk jawatankuasa krisis, garis pelan tangani kes kecemasan

KAHERAH, 30 Rabiulakhir 1445H, Selasa – Kira-kira 37 hospital di lapan wilayah di Mesir bersedia untuk menerima pesakit daripada Semenanjung Gaza.

Malah, seramai 13 pesakit kini sedang dirawat di wilayah berkenaan, lapor Menteri Kesihatan Mesir, Khaled Abdel Ghaffar.

Kenyataan itu dibuat di Dewan Perwakilan oleh Jawatankuasa Hal Ehwal Kesihatan yang dipengerusi Dr Ashraf Hatem berhubung usaha negara itu untuk menyokong rakyat Palestin di Gaza.

Katanya, kementerian juga turut membentuk jawatankuasa krisis dan bersedia dengan bilik kecemasan, menggariskan pelan yang meliputi perkhidmatan kecemasan, terapeutik dan pencegahan untuk menangani kes kecemasan daripada Gaza.

Sebanyak 150 ambulans juga disediakan bagi urusan pemindahan pesakit daripada Pintu Masuk Rafah.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya turut menerima kanak-kanak dari Hospital Al-Shifa yang terkesan akibat kekurangan bekalan elektrik sebanyak 90 peratus di wilayah terkepung itu.

Kementerian Kesihatan Mesir sedang berunding untuk menerima lebih banyak kes daripada Gaza termasuk 1,500 kes pesakit buah pinggang.

Pihaknya juga menggariskan rancangan untuk sokongan penjagaan kesihatan di Gaza, dengan membahagikan hospital kepada tiga peringkat berdasarkan lokasi mereka.

Jelasnya lagi, Mesir akan menerima pelbagai kes dari Gaza termasuk luka teruk, patah tulang, kecederaan mata, kecederaan organ dalaman, quadriplegia (akibat serpihan), dan kanser. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button