Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Dunia

Colombia cadang PBB iktiraf Palestin negara merdeka

Presiden umum henti beli senjata dari negara tolak gencatan senjata

BOGOTA, 30 Rabiulakhir 1445H, Selasa – Colombia akan mengemukakan cadangan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara merdeka sepenuhnya.

Perkara itu diumumkan Presiden Colombia, Gustavo Petro dalam catatan dimuat naik di platform media sosial, X berserta video memaparkan keadaan di Hospital Al-Shifa di Gaza.

“Pembunuhan beramai-ramai yang dilancarkan oleh Netanyahu (Perdana Menteri negara haram Israel) di Hospital Al-Shifa di Gaza.

“Colombia akan mengemukakan cadangan kepada PBB supaya Palestin diterima sebagai sebuah negara penuh,” kata Petro.

Pemimpin yang berpendirian teguh itu juga mengisytiharkan keputusan kerajaannya untuk menghentikan pembelian senjata daripada negara yang mengundi menentang atau mengelak daripada resolusi menggesa gencatan senjata di Gaza.

Ini bermakna, Colombia tidak akan membeli senjata daripada negara seperti Amerika Syarikat (AS), Perancis dan Britain – tiga ahli tetap yang menentang – serta Jepun.

Ini termasuk Albania, Brazil, Ecuador, Ghana, Malta dan Switzerland yang bertindak sebagai negara-negara berkecuali.

“Negara demokratik dan progresif mesti berjuang untuk memelihara undang-undang kemanusiaan antarabangsa bagi mengelakkan kebiadaban daripada menular di dunia,” katanya.

Petro turut memuat naik keputusan undian negara-negara di PBB untuk mengisytiharkan penempatan haram Israel di wilayah Palestin yang dijajah.

“Lihat di sebelah mana Colombia berada, lihat jika majoriti dunia tidak mencari keadilan, lihat jika Colombia tidak mengiringi perjuangan itu,” katanya.

Jumaat lalu, Petro mengumumkan Colombia akan secara aktif menyertai aduan yang difailkan terhadap Netanyahu di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), atas dakwaan jenayah perang yang dikemukakan Algeria.

Katanya, Menteri Luar, Alvaro Leyva akan bertemu dengan pendakwa raya mahkamah, Karim Khan untuk menekankan isu itu.

Sekurang-kurangnya 11,240 rakyat Palestin telah terkorban, termasuk lebih 7,760 kanak-kanak dan wanita, dan lebih 28,200 yang lain telah cedera setakat hari ke-38 pencerobohan rejim Israel ke atas Semenanjung Gaza.

Bahkan, ribuan bangunan termasuk hospital, masjid dan gereja rosak serta musnah dalam serangan tanpa henti Israel di wilayah terkepung itu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button