Dunia

Iraq bincang kurangkan eksport minyak?

Reaksi terhadap kegagalan negara Arab-Islam capai keputusan gencatan senjata

BAGHDAD, 30 Rabiulakhir 1445H, Selasa – Iraq dilaporkan dalam perbincangan untuk mengurangkan pengeluaran minyak negara, sebagai reaksi kepada keputusan mesyuarat tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Liga Arab berkaitan Gaza, baru-baru ini.

Sumber kerajaan Iraq mendedahkan, Perdana Menteri, Muhammad Shia Al-Sudani bertemu dengan menteri minyak dan penasihat tenaga dan ekonomi pada Sabtu lalu, untuk membincangkan langkah pengurangan eksport mintak sebanyak satu juta tong sehari.

Sumber mendakwa, keputusan itu mungkin diambil kerana kegagalan sidang kemuncak Arab-Islam untuk mencapai penyelesaian berkesan mengenai gencatan senjata di Gaza.

Ini berikutan lebih 11,000 rakyat Palestin terbunuh, di mana kebanyakannya adalah kanak-kanak dan wanita dalam siri pengeboman tanpa henti rejim Israel di Gaza sejak 7 Oktober lalu.

Terdahulu, pemimpin Islam dan Liga Arab mengecam tindakan tidak berperikemanusiaan di Gaza, tetapi enggan mengenakan sekatan ekonomi dan politik terhadap Israel yang berterusan mengebom penduduk Gaza.

Hasil resolusi dalam Sidang Kemuncak Liga Arab dan OIC di Riyadh pada Sabtu telah menonjolkan perpecahan kalangan pemimpin wilayah Arab dalam menangani krisis yang mungkin akan membabitkan negara lain, lapor AFP.

Beberapa negara Arab, diketuai oleh Algeria, menggesa hubungan diplomatik dan ekonomi dengan Israel diputuskan sepenuhnya.

Namun sekurang-kurangnya tiga negara, termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain yang menormalisasikan hubungan dengan Israel pada tahun 2020, menolak cadangan itu.

Walaupun beberapa negara Arab dan Islam mengutuk serangan itu, sehingga kini masih tiada tindakan progresif diambil bagi menegur perbuatan jenayah rejim Israel.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button