Berita Utama

Negara Islam patut bekal kelengkapan tentera kepada Hamas: Mufti P. Pinang

Umat Islam wajib sokong perjuangan Palestin

BANGI, 30 Rabiulakhir 1445H, Selasa – Perjuangan rakyat Palestin wajar mendapat sokongan umat Islam terutama bagi membantu membebaskan negaranya daripada terus dijajah rejim Zionis.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, sokongan tersebut perlu diterjemahkan berikutan penjajahan Israel dan pendatang dari pelbagai negara Eropah menduduki bumi Palestin dengan mengusir penduduk asal ke negara jiran.

“Situasi itu menyebabkan rakyat asal menjadi mangsa diskriminasi dan dilayan sebagai warga kelas kedua atau lebih teruk lagi.

“Atas nama kemanusiaan, setiap individu Muslim malah orang bukan Islam juga mestilah membantu perjuangan rakyat Gaza dan Palestin dengan apa juga bantuan mengikut kemampuan.

“Selain menyalurkan bantuan kewangan menerusi akaun tertentu yang bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Di samping itu, Dr Wan Salim berkata, bantuan boleh dilakukan dengan cara memboikot produk syarikat-syarikat yang terbukti memberi sumbangan kepada negara haram itu.

Bagaimanapun, tegasnya, tindakan tersebut perlu dilakukan dengan berhati-hati supaya tidak menganiaya syarikat yang tidak menyumbang kepada tujuan terbabit.

Dalam pada itu, katanya, masyarakat juga tidak kira daripada negara Islam atau bukan sewajarnya membekalkan kelengkapan tentera bagi kumpulan Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) di Gaza serta rakyat Palestin seluruhnya.

“Ia adalah sebagai menyahut seruan al-Quran supaya disediakan kepada mujahidin, kekuatan ketenteraan semaksimum yang termampu bagi menimbulkan kegerunan kepada pihak musuh.

“Isu Gaza dan Palestin adalah isu keadilan dan isu kemanusiaan sejagat, namun bagi umat Islam ia juga ada kaitan dengan agama kita.

“Justeru, menjadi tanggungjawab kepada semua individu menyokong perjuangan saudara kita di Palestin serta menghulurkan bantuan kepada mereka,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button