Berita UtamaDunia

AS bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kekejaman di Gaza: Hamas

Kebisuan PBB, negara lain tak akan patahkan semangat Palestin terus pertahankan tanah air

GAZA, 1 Jamadilawal 1445H, Rabu – Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) menuntut Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden bertanggungjawab sepenuhnya ke atas segala tindakan dan penyerbuan ganas di Kompleks Al-Shifa di Semenanjung Gaza.

Hamas dalam kenyataan memaklumkan sepatutnya kompleks perubatan dilindungi di bawah Konvensyen Geneva Keempat.

“Kami menuntut untuk mereka juga bertanggungjawab pada risiko-risiko kakitangan perubatan dan ribuan orang yang dipindahkan, sebagai akibat jenayah kejam terhadap kemudahan kesihatan yang dilindungi oleh Konvensyen Geneva Keempat.

“Pemimpin penceroboh Israel dan semua orang yang bersekongkol dengan mereka akan bertanggungjawab dalam kes pembunuhan kanak-kanak, orang awam yang sakit dan tidak berdaya.

“Kami menuntut Presiden Biden bertanggungjawab sepenuh dengan tentera Nazi yang menyerbu Hospital Al-Shifa dan kesan yang berlaku kepada kakitangan perubatan selain ribuan penduduk yang dipindahkan,” katanya dalam kenyataan, yang dikeluarkan hari ini.

Hamas berkata, White House dan Pentagon menerima naratif palsu Zionis, apabila mendakwa gerakan Hamas menggunakan Kompleks Perubatan Shifa untuk tujuan ketenteraan.

“Sedangkan ia adalah lampu hijau bagi Zionis untuk melakukan lebih banyak pembunuhan beramai-ramai terhadap orang awam.

“Selain memaksa mereka berhijrah secara paksa dari utara ke selatan bagi menjayakan rancangan penjajah untuk memindahkan rakyat Gaza,” katanya

Meskipun kebisuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan kegagalan beberapa negara lain dalam menangani situasi getir yang berlaku di Gaza namun ia tidak akan mematahkan semangat rakyat Palestin daripada berpegang teguh dan terus kekal di tanah air sendiri, kata Hamas.

“Kami akan mengekalkan ikrar dan untuk terus mempertahankan hak daripada semua kekerasan.

“Rejim Zionis akan membayar harga yang mahal untuk jenayah dan serangannya terhadap anak-anak, wanita kita, dan kesucian kita,” katanya lagi.

Bahkan, Hamas menegaskan, Gaza pernah dan akan kekal sebagai tanah perkuburan kepada penceroboh.

“Ia adalah jihad kemenangan atau syahid kepada kami,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button