Berita UtamaDunia

Hujan lebat di Gaza dibimbangi bawa cabaran baru

Pergerakan lebih terhalang, sukarkan proses menyelamat dan berisiko banjir

GAZA, 1 Jamadilawal 1445H, Rabu – Hujan lebat yang mula membasahi bumi Gaza memberi cabaran dan kebimbangan kepada penduduk yang kebanyakan tiada tempat berteduh dan berlindung di khemah-khemah selepas beberapa minggu menjadi mangsa serangan bom rejim pengganas.

Permulaan musim hujan dan kemungkinan menyebabkan banjir meningkatkan kebimbangan berikutan sistem kumbahan di wilayah yang padat itu akan ditenggelami dan menyebabkan penyakit merebak.

Di sebuah pusat perlindungan yang dikendalikan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Khan Younis, Selatan Gaza, penduduk mula menyuarakan kebimbangan sekiranya hujan berterusan yang boleh menyebabkan banjir.

“Kami sebelum ini berada di dalam rumah yang dibina daripada konkrit tetapi kini berlindung di bawah khemah.

“Khemah dan kayu ini tidak mampu menampung keadaan sekiranya banjir… ramai yang tidur di atas lantai, apa yang mereka mampu lakukan sekiranya hujan berterusan,” kata Fayeza Srour yang mencari perlindungan di selatan Gaza selepas rejim pengganas memulakan serangan sejak 7 Oktober lalu.

Katanya, musim sejuk menyebabkan kawasan menjadi basah dan sejuk di Gaza dan kawasan itu kadang kala boleh dilanda banjir.

Sementara itu, seorang lagi penduduk Gaza, Karim Mreish berkata, penduduk di pusat perlindungan berkenaan berdoa supaya hujan berhenti.

Katanya, mereka akan berdepan kesukaran yang teruk dan tiada kata-kata untuk menggambarkan penderitaan yang mereka lalui.

Minggu lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, Gaza menghadapi peningkatan risiko penyebaran penyakit kerana pengeboman udara Israel telah mengganggu sistem kesihatan, akses terhad kepada air bersih selain menyebabkan orang ramai bersesak di tempat perlindungan.

Sementara itu, Jurucakap Majlsi Pelarian Norway, Ahmad Bayram berkata, permulaan musim hujan menandakan minggu yang paling sukar di Gaza.

“Hujan lebat akan menyebabkan pergerakan lebih terhalang untuk orang ramai dan pasukan penyelamat.

“Ia akan menyukarkan lagi proses menyelamatkan mereka tersepit di bawah runtuhan, atau proses pengebumian, semua ini berlaku di tengah-tengah pengeboman tanpa henti dan dalam keadaan kekurangan bekalan elektrik,” katanya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button