Beberapa jam lagi talian telefon, internet di Gaza lumpuh sepenuhnya
Bekalan bahan api habis kerana sekatan rejim Israel

GAZA, 2 Jamadilawal 1445H, Khamis – Perkhidmatan komunikasi di Gaza akan terhenti sepenuhnya untuk tempoh beberapa jam lagi berikutan kehabisan bekalan bahan api.
“Pengiraan detik bermula untuk menghentikan semua komunikasi dan perkhidmatan internet di Semenanjung Gaza,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Kawal Selia Telekomunikasi, Laith Daraghmeh dalam kenyataan.
Beliau berkata, usaha sedang dijalankan dengan institusi antarabangsa untuk memastikan kemasukan kuantiti bahan api yang diperlukan bagi operasi perkhidmatan komunikasi.
Ahad lalu, Menteri Komunikasi Palestin, Yitzhak Sidr memberi amaran bahawa semua komunikasi dan perkhidmatan internet akan berhenti di Semenanjung Gaza menjelang Khamis ekoran kekurangan bahan api.
Israel telah mengharamkan penghantaran bahan api ke Semenanjung Gaza sebagai tindak balas kepada serangan rentas sempadan Hamas pada 7 Oktober lalu.
Sekurang-kurangnya 11,320 rakyat Palestin terbunuh, termasuk lebih 7,800 wanita dan kanak-kanak memasuki hari ke-40 serangan Israel di Gaza.
Serangan itu juga menyebabkan ribuan bangunan, termasuk hospital, masjid dan gereja musnah teruk.- Agensi