Berita Utama

BERJASA serah memorandum Bebaskan Palestin kepada PMO, Wisma Putra

Gesa kerajaan main peranan, jangan sesekali iktiraf 'two state solution'

Oleh Athirah Huda Zalhe

PUTRAJAYA, 3 Jamadilawal 1445H, Jumaat – Kerajaan Malaysia digesa mengambil tindakan berani memainkan peranan dalam usaha mencapai keamanan dan mendapatkan keadilan serta hak asasi manusia rakyat Palestin.

Selaras gesaan itu, BERJASA menyerahkan memorandum Bebaskan Palestin dengan mengemukakan 11 tuntutan kepada Kerajaan Malaysia di Pejabat Perdana Menteri dan Wisma Putra di sini, hari ini.

Penyerahan memorandum kepada Pegawai di Pejabat Perdana Menteri untuk diserahkan pada Datuk Seri Anwar Ibrahim telah diketuai Presiden BERJASA, Haji Zamani Ibrahim.

Berikut adalah 11 desakan yang dikemukakan BERJASA iaitu:

1) Tidak sama sekali mengiktiraf ‘two state solution’ dalam menangani konflik Israel-Palestin;

2) Memperjuangkan pembebasan penuh negara Palestin berdasarkan peta asal sebelum terjadinya Deklarasi Balfour 1917, bukannya sempadan pra 1967;

3) Mengiktiraf Hamas sebagai kerajaan rasmi yang dilantik oleh seluruh rakyat Palestin melalui pilihan raya tahun 2006;

4) Meneruskan pelaksanaan dasar tiada hubungan diplomatik dengan Israel dan tidak mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara;

5) Kekal teguh menolak apa juga tuntutan dan desakan daripada mana-mana pihak dalam menormalisasikan hubungan dengan Israel;

6) Menentang keras sebarang usaha ke arah pembinaan Israel Raya, terutamanya yang melibatkan rancangan Deal of the Century;

7) Mengemukakan bantahan rasmi dalam persidangan antarabangsa terhadap kuasa Barat yang bersetuju dengan pembunuhan beramai-ramai, penghapusan etnik dan jenayah perang terhadap isu Palestin;

8) Meluluskan sumbangan yang lebih besar dan memastikan bantuan disalurkan melalui Hamas yang sentiasa berjuang mempertahankan Palestin;

9) Lebih agresif mempengaruhi negara-negara Islam dan badan antarabangsa supaya menyertai gerakan pembebasan Palestin melalui rundingan, sekatan ekonomi dan bantuan ketenteraan;

10) Membenarkan apa jua bentuk sokongan dan solidariti terhadap kempen perjuangan pembebasan Palestin melalui mana-mana wadah oleh rakyat Malaysia atau institusi kerajaan mahupun swasta;

11) Menggerakkan pengupayaan penuh supaya semua kuasa nasional dalam menyokong pembebasan negara Palestin dalam mempertahankan tanah air yang berdaulat dan tanah wakaf umat Islam.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button