Berita Utama

Denggi: KKM keluarkan 3,453 kompaun bernilai lebih RM1.7 juta

137 kes disabit kesalahan di mahkamah dengan denda RM262,160

BANGI, 3 Jamadilawal 1445H, Jumaat – Sejumlah 3,453 kompaun bernilai lebih RM1.7 juta dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi tujuan pencegahan dan kawalan penyakit demam denggi pada Oktober.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, jumlah itu adalah hasil dan tindakan penguatkuasaan undang-undang kesihatan awam yang diambil KKM setakat bulan lalu.

Beliau berkata, sejumlah 385 kes telah didaftar untuk tindakan mahkamah dan 137 kes disabitkan kesalahan di mahkamah dengan jumlah denda RM262,160 melalui tindakan penguatkuasaan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975.

“Melalui penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004, daripada 22,361 premis yang dilawati, sejumlah 10,051 notis kesalahan dikeluarkan.

“Sebanyak 6,290 kompaun telah ditawarkan dengan nilai tawaran berjumlah RM1,457,300,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Muhammad Radzi turut memaklumkan, KKM telah memeriksa 6,273 premis makanan bagi tindakan penguatkuasaan Akta Makanan 1983.

“Jumlah premis makanan yang diberi perintah penutupan sementara di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 adalah 163 premis iaitu 2.60 peratus daripada keseluruhan premis makanan yang diperiksa.

“Tindakan penutupan sementara premis makanan yang dikuatkuasakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia adalah sebagai suatu langkah menjamin kebersihan premis serta makanan yang dihidangkan,” katanya.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan adalah pilihan terakhir yang diambil oleh KKM, selaras usaha meningkatkan mutu perkhidmatan untuk kesejahteraan penduduk Malaysia.

“Orang ramai serta semua pihak adalah diminta untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing agar keberkesanan pelaksanaan aktiviti kesihatan mencapai tahap optimum,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button