Israel berdepan krisis ekonomi dahsyat jika terus perang Gaza
Banyak industri hancur, kerugian semakin meningkat

GAZA, 3 Jamadilawal 1445H, Jumaat – Serangan rejim pengganas Israel siang dan malam di Gaza sejak 7 Oktober lalu telah memberi kesan secara langsung kepada ekonomi negara haram itu.
Bagi melaksanakan ‘hasratnya’ untuk menjadikan Gaza tidak dapat didiami, rejim itu mengebom hospital, sekolah, masjid, gereja, kemudahan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), tangki air, tangki ikan, dan juga panel solar.
Sejak awal perang, Israel telah memanggil sejumlah 350,000 pasukan simpanan untuk dikerahkan ke dalam pasukan pendudukan, yang sekali gus menarik mereka keluar daripada pasaran buruh tempatan.
Manakala sekurang-kurangnya 126,000 penceroboh dari kawasan bersebelahan Gaza dan selatan Lubnan telah berpindah ke tempat lain dan ditempatkan di hotel dan pusat komuniti.
Ia juga dianggarkan bahawa 250,000 penduduk haram Israel telah melarikan diri dari tanah jajahan ke tempat lain di mana mereka memegang kewarganegaraan.
Keadaan ini menjejaskan perniagaan di koloni penceroboh haram secara besar-besaran dengan 61,000 penceroboh mengambil cuti tanpa gaji.
Terdapat juga penurunan 70 peratus dalam hasil pelancongan, dengan kebanyakan penerbangan ke entiti Zionis itu dibatalkan.
Selain itu, medan gas asli Tamar, yang dikendalikan oleh Chevron, juga telah ditutup dan dihentikan operasi kerana kebimbangan serangan roket daripada Mujahidin Palestin.
Dianggarkan penutupan lapangan ini akan menelan belanja ekonomi Israel sebanyak $200 juta bagi setiap bulan ia ditutup.
Dalam usaha terdesak untuk mengelak risiko tindakan industri oleh 60,000 pekerja binaan Palestin yang menjadi sandaran kepada industri bangunan Israel, negara haram itu kini merancang untuk membawa masuk bilangan pekerja yang mencukupi dari Asia Tenggara untuk menggantikan mereka.
Kesan ke atas perniagaan begitu dramatik sehingga Kementerian Kewangan telah membentangkan rancangan untuk menyediakan geran $1 juta kepada perniagaan Israel yang musnah akibat perang.
Bukti sudah semakin meningkat mengenai kesan perang terhadap ekonomi Israel.
Industri teknologi Israel sudah bergelut sebelum perang. Walaupun ia biasanya menyumbang 48 peratus daripada eksport Israel, dan membawa masuk rekod $21 bilion pada 2021, jumlah itu dikurangkan separuh pada 2022.
Ia turun lagi 68 peratus pada separuh pertama 2023 dan perang semasa akan merosakkan lagi aspek penting dasar luar Israel itu.
Kesemua faktor ini telah menyumbang kepada paras terendah dalam 14 tahun bagi mata wang shekel entiti Zionis.
Walaupun elit tentera Israel telah memulakan perang gempur untuk menghalau rakyat Palestin keluar dari Gaza, semakin lama ia berlarutan, semakin teruk akibat ekonomi yang akan berlaku kepada entiti Zionis itu. – Agensi