Israel bom rumah keluarga Ismail Haniyeh
Pernah diguna sebagai infrastruktur, tempat pertemuan pegawai Hamas

GAZA, 3 Jamadilawal 1445H, Jumaat – Rumah keluarga Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh yang terletak di kem pelarian Al-Shati telah dibom tentera pengganas Israel.
Menurut agensi berita Middle East Monitor (MEMO) yang memetik sumber tentera berkata, rumah – tempat Haniyeh dibesarkan – itu digunakan sebagai infrastruktur untuk Hamas dan tempat pertemuan anggota pejuang serta pegawai kanan.
Haniyeh tinggal di luar Semenanjung Gaza sejak 2019, apabila bekas Perdana Menteri Pihak Berkuasa Palestin itu dipilih untuk mengetuai biro politik.
Beliau kini berpangkalan di Qatar.
Tentera pengganas Israel meneruskan pencerobohan ke atas Semenanjung Gaza untuk hari ke-41, dengan sokongan Amerika Syarikat (AS).
Serangan tanpa henti rejim terus menyasarkan sekitar hospital, bangunan kediaman, blok menara dan rumah orang awam Palestin.
Bukan hanya serangan, Israel turut menyekat kemasukan air, makanan dan bahan api sehingga menjadi antara faktor angka korban terus meningkat kepada 11,500 orang, termasuk lebih 8,000 kanak-kanak dan wanita.- Agensi