Israel tewas di medan perang, hanya serang membabi buta
Gagal di peringkat antarabangsa, sokongan negara Eropah semakin lemah

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar
BANGI, 3 Jamadilawal 1445H, Jumaat – Meskipun lebih 40 hari melancarkan serangan balas ke atas Gaza, rejim Israel tetap gagal memperoleh apa-apa kemenangan baik dari segi ketenteraan, media mahupun politik.
Lebih memalukan, serangan yang dilancarkan Zionis tidak ada kemajuan dan objektif tertentu yang boleh dituju untuk melemahkan pejuang pembebasan Palestin.
Amir Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abdullah berkata, Israel masih belum dapat menebus kekalahan mereka sejak 7 Oktober lalu malah boleh dikatakan setiap hari mengalami kekalahan.
Buktinya, Israel gagal mencari sasaran ketenteraan di mana mereka boleh mematikan serangan perjuangan pembebasan ataupun mujahidin Palestin.
“Jadi mereka membuat serangan membabi buta, tidak ada fokus dan yang menjadi sasarannya adalah orang awam.
“Mereka tidak jumpa tempat (markas Hamas) sebab itu mereka cuba membuat gambaran seolah-olah kepimpinan pejuang ini di bawah Hospital Al-Syifa.
“Mereka merempuh Hospital Al-Syifa dan membuat pemeriksaan tetapi tidak menemui apa-apa,” katanya menerusi video yang dimuat naik di akaun Facebook beliau.
Mengulas lanjut, pemimpin gerakan Islam itu berkata, keadaan ini menunjukkan Israel gagal memberi bayangan kepada rakyat dan masyarakat antarabangsa bahawa mereka melakukan tindakan yang betul.
Bahkan, ia menidakkan harapan mereka kononnya boleh menang dalam peperangan ini.
Katanya, tentera juga berhadapan dengan serangan hendap dan roket yang tidak terhenti serta mengalami kerosakan yang sangat tinggi.
“Begitu juga dari segi politik dalaman, Perdana Menteri Israel menerima tekanan dan demonstrasi besar-besaran berlaku supaya dia meletak jawatan kerana masalah pertukaran tawanan.
“Tawanan yang berada di tangan pejuang-pejuang masih hidup tetapi Benjamin Netanyahu tidak bersetuju untuk mengadakan rundingan dan pertukaran tawaran ini menyebabkan tindak balas yang mengoncang politik dalaman Israel,” katanya.
Ustaz Abdullah Zaik berkata, dari segi luar, Israel gagal melabelkan Hamas atau pejuang Palestin sebagai pengganas sebaliknya tindakan mereka ke atas orang awam dianggap sebagai genosid oleh masyarakat antarabangsa.
“Jadi dia gagal di peringkat antarabangsa dan menyebabkan sokongan negara-negara Eropah sendiri semakin hari semakin lemah terhadap Israel.
“Hakikatnya mereka gagal dari sudut media dan lain-lain untuk meyakinkan masyarakat antarabangsa bahawa Hamas adalah pengganas.
“Serangan ke atas orang awam adalah kerana menyasarkan pengganas yang berlindung sebagai orang awam. Itu tidak dapat diterima oleh masyarakat antarabangsa,” katanya.