Berita Utama

Pesuruhjaya PAS ketua pembangkang Pulau Pinang baharu

Bakal bentuk EXCO bayangan pantau portfolio setiap wakil dalam negeri

GEORGE TOWN, 3 Jamadilawal 1445H, Jumaat – Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff akan menjadi ketua pembangkang negeri yang baharu.

ADUN Sungai Dua itu berkata, walaupun ia belum diumumkan secara rasmi oleh Speaker negeri, Datuk Law Choo Kiang, beliau telah dipilih sebagai ketua pembangkang negeri.

“Ia masih tidak rasmi kerana belum diumumkan di DUN tetapi saya telah dipilih oleh Perikatan Nasional (PN) untuk menjadi ketua pembangkang di Pulau Pinang.

“Keputusan itu dibuat oleh pemimpin dan surat telah dihantar kepada Speaker kira-kira sebulan lalu. 

“Insya-Allah Isnin akan umum,” katanya di pekarangan Bangunan DUN  selepas Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 yang berjalan lancar pada Jumaat.

Ditanya mengenai isu yang akan dibangkitkan beliau sebagai ketua pembangkang, Muhammad Fauzi berkata, beliau akan mengetengahkan maklum balas daripada penduduk setempat semasa persidangan DUN.

“Isu yang akan saya bangkitkan adalah berdasarkan kesusahan rakyat dan pembangunan negeri.

“Kami akan menjadi pembangkang yang objektif untuk membantu rakyat dengan berkesan,” katanya.

Sementara itu, ADUN Penaga Mohd Yusni Mat Piah yang merupakan satu-satunya pembangkang PAS pada penggal sebelumnya berkata dengan 11 orang pembangkang kali ini, mereka akan melaksanakan semak dan imbang yang berkesan dan cekap dalam kerajaan negeri.

“Kita akan bentuk EXCO bayangan untuk memantau setiap EXCO negeri.

“Sudah tentu ia lebih menyeronokkan sekarang dan kami akan ‘memanaskan’ Dewan yang mulia,” katanya.

PAS kali ini mempunyai tujuh wakil rakyat dalam Dewan Undangan Negeri, manakala Bersatu mempunyai empat.

PN memperoleh 11 daripada 40 kerusi negeri yang dipertandingkan dalam pilihan raya negeri pada Ogos tahun ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button