Berita Utama

Bersatu tempelak Azalina cabar MB Terengganu letak jawatan

Bila bercakap, jangan main lepas dan sedap mulut bicara

BANGI, 4 Jamadilawal 1445H, Sabtu – Bersatu menempelak cabaran dilontarkan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said supaya Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar meletak jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu untuk fokus kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman pada 2 Disember ini.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, Azalina sewajarnya meminta Menteri Besar Selangor dan Negeri Sembilan meletak jawatan terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan sedemikian.

“Kekadang bila kita bercakap, jangan main lepas dan sesedap mulut berbicara.

“Jangan nampakkan otak kosong yang menolak kebenaran.

“Kalau nak suruh MB Terengganu letak jawatan dan fokus Parlimen Kemaman, suruh MB Selangor dan MB Negeri Sembilan letak jawatan dulu, boleh ke? Ada berani tak?,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Azalina menyifatkan, PAS ketandusan pemimpin apabila mencalonkan Ahmad Samsuri untuk berdepan dengan calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor pada PRK tersebut.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) berkata, sekiranya benar Ahmad Samsuri mahu manabur baktinya kepada penduduk di Parlimen Kemaman, beliau tidak seharusnya bertanding atas tiket Menteri Besar.

“Kalau betul dia (Ahmad Samsuri) yakin (menang), saya nak cabar dia letak jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu dan fokus kepada Parlimen Kemaman.

“Dia nak bertanding atas tiket sebagai Menteri Besar sebab bila kalah boleh jadi Menteri Besar. Maknanya, dia tak amanah dan ikhlas kepada pengundi Kemaman,” katanya.

Mengulas lanjut, Razali secara sinis berkata, Azalina hanya ‘bersembang deras’ di depan ahli UMNO kononnya mahu nampak hebat.

“Kalau rasa nak hebat macam Hang Jebat versi wanita, suruh rakan sekutu politik PKR minta MB mereka letak jawatan dan fokus Parlimen masing-masing.

“Kekadang adil itu kena letak pada keadaan yang sesuai, saksama itu kena hadir pada waktunya. Ini menteri jaga undang~undang dan reformasi Parlimen nampak masih tak faham.

“Agaknya kegerunan terhadap rekod 40-0 di Terengganu di bawah MB Terengganu telah membimbangkan Ketua Penerangan UMNO sendiri,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button