Israel lancar lebih 170 serangan pusat kesihatan di Tebing Barat
WHO gesa perlindungan aktif pekerja, kemudahan kesihatan

ISTANBUL, 4 Jamadilawal 1445H, Sabtu – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan kemudahan penjagaan kesihatan di Tebing Barat yang diduduki menghadapi lebih daripada 170 serangan Israel sejak 7 Oktober lalu.
“WHO bimbang mengenai peningkatan berterusan serangan ke atas penjagaan kesihatan di Tebing Barat,” kata agensi PBB dalam satu kenyataan di X.
“Hari ini, sekurang-kurangnya enam anggota paramedik (yang) keluar dari Hospital Ibn Sina di Jenin, mereka diperiksa dan ditahan,” kata pertubuhan itu sambil menambah bahawa tiga ambulans turut diperiksa.
WHO menegaskan, penjagaan kesihatan bukan sasaran – merujuk kepada peraturan perang antarabangsa yang menghalang hospital, sekolah dan kemudahan awam lain daripada diserang.
Selain itu, WHO menggesa perlindungan aktif pekerja kesihatan dan kemudahan kesihatan.
Sejak meletusnya pertempuran di Gaza antara kumpulan Palestin dan Israel pada 7 Oktober, tentera Israel setakat ini telah membunuh lebih 200 rakyat Palestin dan menahan lebih 2,520 di seluruh Tebing Barat dalam usaha mengekang aktivisme Palestin yang menyokong Gaza.
Sejak Israel mula mengebom Gaza pada 7 Oktober, sekurang-kurangnya 11,500 rakyat Palestin terbunuh, termasuk lebih 7,800 wanita dan kanak-kanak serta lebih 29,200 yang lain cedera.
Sekatan Israel juga telah memutuskan Gaza daripada bekalan bahan api, elektrik dan air dan mengurangkan penghantaran bantuan kepada aliran kecil.
Sementara itu, angka kematian Israel adalah sekitar 1,200, – meskipun ada pihak mengatakan jumlah itu berkemungkinan lebih besar. – Agensi