Amaran hujan lebat tahap bahaya di Terengganu hingga esok
Ribut petir berserta hujan lebat dijangka berlaku di negeri lain

BANGI, 5 Jamadilawal 1445H, Ahad – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat di negeri Pantai Timur, Perlis, Kedah, Perak dan Sabah bermula hari ini hingga esok.
MetMalaysia dalam kenyataan, hari ini memaklumkan beberapa daerah di Terengganu iaitu Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman dijangka mengalami hujan berterusan tahap bahaya sehingga Isnin.
Amaran hujan lebat peringkat buruk dikeluarkan di Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh), Hulu Terengganu serta Jerantut dan Kuantan di Pahang.
Sementara itu, di Perlis dan beberapa daerah di Kedah, Perak, Kelantan, Pahang serta Sabah pula dijangka mengalami hujan berterusan peringkat waspada sehingga esok.
“Amaran angin kencang dan laut bergelora turut dikemaskini berkuat kuasa sehingga 21 November 2023.
“Sementara itu, di negeri-negeri lain, ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang yang lebih menyeluruh juga berpotensi berlaku dalam tempoh berkenaan,” katanya dalam kenyataan ramalan cuaca signifikan, hari ini.
Ketua Pengarah MetMalaysia berkata, ramalan itu berdasarkan analisis model-model cuaca, luruan monsun dijangka berlaku sehingga Selasa ini.
“Keadaan ini boleh menyebabkan peningkatan kelembapan yang berpotensi membawa hujan berterusan di Pantai Timur dan utara Semenanjung serta Sabah.
“Pada masa yang sama, angin kencang dan laut bergelora juga dijangka berlaku di Laut China Selatan,” katanya.
Sehubungan itu, MetMalaysia menasihatkan orang awam untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.