BERJASA tawar segala kekuatan jalin kerjasama dengan GSPP
Usaha gerak kerja menuju ke arah pembebasan Palestin

BANGI, 5 Jamadilawal 1445H, Ahad – BERJASA akan menawarkan segala kekuatan yang ada untuk bekerjasama dan mengangkat perjuangan Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP) di arena politik tanah air.
Presidennya, Ustaz Zamani Ibrahim berkata, BERJASA bersikap kritis dalam mana-mana organisasi dan entiti yang membawa nama perjuangan Palestin untuk memastikan perjuangan yang dibawa adalah pada landasan yang bertepatan dengan aspirasi rakyat Palestin dengan juga melihat dalam spektrum perjuangan akidah Islam.
Justeru, selepas pembentangan terperinci daripada Pengerusi Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin, Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni pihaknya bersetuju dengan naratif utama yang dibawa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut.
“Antara naratif yang dibawa GSPP ialah sebarkan kemenangan dan akhiri perjuangan dengan usaha gerak kerja menuju ke arah pembebasan penuh Palestin.
“Jawatankuasa Pusat BERJASA telah membuat keputusan untuk menawarkan segala kekuatan yang ada untuk bekerjasama dan mengangkat perjuangan GSPP di arena politik tanah air,” katanya dalam kenyataan, hari ini
Terdahulu, BERJASA menjemput Ustaz Muhammad Fauzi memberi taklimat mengenai perjuangan dan hala tuju GSPP.
Mengulas lanjut, Ustaz Zamani berkata, pihaknya sememangnya telah menggerakkan beberapa usaha Solidariti Palestin dengan slogan Berjasa4Aqsa, serta usaha di pelbagai peringkat bagi bantuan kepada Palestin khususnya pejuang di Gaza.
Seiring dengan itu, BERJASA akan terus menggembleng tenaga membawa suara dan tuntutan GSPP ke peringkat parti-parti politik nasional, serantau dan juga antarabangsa.