Berita Utama

Penduduk kawasan berisiko banjir digesa patuh arahan pihak berkuasa

Amaran hujan lebat tahap bahaya di Kelantan, Terengganu

BANGI, 5 Jamadilawal 1445H, Ahad – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggesa penduduk di kawasan berisiko banjir supaya mengambil langkah pencegahan sewajarnya.

Gesaan itu susulan amaran hujan berterusan tahap bahaya yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) membabitkan negeri Kelantan dan Terengganu, semalam.

Susulan itu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) mengingatkan penduduk di kawasan berisiko banjir di dua negeri terbabit untuk mematuhi arahan dikeluarkan pihak berkuasa.

“Saya berdoa dan berharap agar keadaan banjir ini dapat dielakkan dan penduduk terhindar dari musibah kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Menerusi amaran yang dikeluarkan MetMalaysia semalam, hujan sangat lebat berterusan dijangka berlaku di daerah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh di Kelantan.

Amaran cuaca buruk itu turut membabitkan daerah Setiu, Besut, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang di Terengganu.

Amaran cuaca buruk peringkat jingga turut dikeluarkan di Jeli, Tanah Merah, Kuala Krai dan Gua Musang, Kelantan, Hulu Terengganu, Dungun serta Kemaman di Terengganu dan Jerantut serta Kuantan, Pahang.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button