Penganjur konsert Coldplay dinasihat tak teruskan penganjuran
Rujuk garis panduan hiburan disedia Jakim: Mufti WP

BANGI, 5 Jamadilawal 1445H, Ahad – Mufti Wilayah Persekutuan menasihatkan penganjur Konsert Coldplay: Music Of The Spheres World Tour In Kuala Lumpur yang akan berlangsung Rabu ini supaya tidak meneruskan program yang secara jelas bertentangan dengan nilai-nilai murni dan budaya masyarakat di negara ini.
Datuk Prof Madya Dr Luqman Abdullah menegaskan, penganjuran program yang melalaikan itu tidak memberikan manfaat kepada masyarakat di negara ini.
“Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengambil berat penganjuran konsert Coldplay yang akan diadakan pada 22 November 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
“Kami menasihatkan penganjur agar tidak meneruskan program ini dan juga menasihatkan masyarakat agar tidak memberi sokongan kepada program ini yang jelas bertentangan dengan nilai-nilai murni dan budaya masyarakat di negara ini.
“Lebih-lebih lagi, kumpulan muzik ini dikaitkan dengan kumpulan tidak bermoral yang mempromosikan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT),” katanya dalam kenyataan, semalam.
Dr Luqman berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah mengeluarkan garis panduan berhubung hiburan di negara ini.
Justeru, beliau meminta supaya umat Islam khususnya di negara ini merujuk garis panduan yang telah dikeluarkan.
Sebelum ini, Majlis Ulama ISMA (MUIS) menuntut pihak berwajib membatalkan konsert Coldplay yang akan berlangsung pada 22 November ini sebagai menghormati kesedihan dan menzahirkan simpati terhadap saudara kita di Palestin yang sedang dibom dan diserang.
Pengerusi MUIS, Datuk Zamri Hashim mengecam jika penganjuran konsert tersebut diteruskan seperti yang dijadualkan.
Beliau pada masa sama meminta agar semua umat Islam tidak terlibat dengan penganjuran konsert tersebut.
Terdahulu, kumpulan rock British terkenal, Coldplay yang dianggotai empat lelaki iaitu Chris Martin, Johnny Buckland, Guy Berryman dan Will Champion dilaporkan bakal beraksi di jelajah yang diberi nama Music of the Spheres World Tour di Stadium Bukit Jalil.
Pautan berkaitan;
https://ismaweb.net/2023/11/15/muis-gesa-konsert-coldplay-dibatalkan/