Artikel Khas

Ada apa dengan ranking universiti jika akhlak pelajar ke laut

Misi universiti yang terlalu keduniaan perlu diseimbangkan, fikir juga ranking bawa anak bangsa ke syurga

SAYA puji langkah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) masih kekal dengan jati diri “flexsible education with soul” (FlexS). Pentingnya unsur ‘roh’ (nilai) dalam pendidikan.

Sudah tentu ia ada kaitan rapat dengan kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi kelmarin, mengingatkan institusi pengajian tinggi di negara ini supaya tidak terlalu taasub kepada sistem ranking atau penarafan kedudukan universiti.

Beliau berkata, sudah banyak penulisan dikeluarkan mengenai sistem ranking, malah badan antarabangsa termasuk Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) turut melahirkan kebimbangan supaya sistem tidak diterima bulat-bulat.

Beliau berkata lagi, penggunaan ranking tidak boleh mengukur secara umum semua universiti, kerana setiap universiti diwujudkan dengan matlamat berbeza. Ukuran yang digunakan itu mungkin sesuai untuk negara-negara maju, tetapi tidak sesuai untuk di kebanyakan negara lain. Jadi, ranking hanya boleh digunakan untuk lihat mungkin kedudukan, tetapi bukannya dijadikan sebagai asas sesebuah universiti itu cemerlang, baik ataupun tidak.

Tahniah menteri! kerana begitu berpandangan jauh. Kita tidak mahu universiti yang ada, menjadi tempat berlumba antara satu sama lain, menyindir satu sama lain, sedangkan hakikat universiti entah ke mana, akhlak pelajarnya ke laut. Misalnya, konsert yang bertukar menjadi liar di universiti berdekatan UniSZA baru-baru ini.

Tidak itu sahaja, mengejar ranking bertentangan dengan tradisi ilmu dalam Islam, yang mementing soal pembinaan insan dan sahsiah. Apa ertinya menduduki ranking yang tinggi jika akhlak pelajar ke laut? Apa ertinya ranking jika kita gagal lahirkan ilmuan ulung seperti Haron Din, Ungku Aziz dan lain-lain.

Sebab itulah apabila apabila The QS World University Rankings dikeluarkan, sebahagian pemimpin institusi pengajian tinggi di negara kita mula gusar, nak menjawab institusi yang dipimpin berada di tahap mana? Bagi yang cepat melatah, mulalah meroyan, mengarah sana sini, minta senaraikan penerbitan dan penyelidikan. Tidak dinafikan semua itu penting.

Tidak ada ertinya universiti, jika kebobrokan berlaku sana sini. Keadilan masih tidak dapat ditegakkan. Maksiat berleluasa. Sesama kita masih bergaduh sesama sendiri dalam mencari penyelesaian sesuatu perkara. Misalnya, ketika negara dilanda COVID19.

Pendek kata, universiti hari ini tidak lagi melahirkan ilmuan dan cendekiawan, tetapi melahirkan sarjana Scopus/ISI/Q1-Q4 dan lain-lain. Inilah yang sangat dibanggakan. Sangat teruja membawa artikel pendek ini, bertajuk “The Lost Soul of a University”. Tidak tahu daripada siapa, tetapi penuh dengan makna dan erti.

There was a time, being an academician was about research and publishing your work in a reputable journal. Then came in the companies that started this ranking business. They tied it to publication which is also owned by them. Suddenly it is not just about publication anymore. Journals became tiered just like ranking of universities. And universities had to pay a lot of money to buy the tiered list. Now you hear of universities paying people to cite their papers. What are we becoming? We are so caught up in this ranking game that we have lost sight of our true north. I was talking to an eminent Prof. Emeritus and we agreed that it is a scam. I just hope that the Ministry will have the will power to overcome this ranking game and look again at what constitutes a good university. That money spent on ranking should be better spent on research grants. Let us all not lose sight of our true north. #ILOVEMYJOB

Bacalah sama buku Harry R. Lewis. 2006. Excellence Without A Soul: How a Great University Forgot Education. New York: Public Affairs

Selepas perginya sejarawan mendiang Prof Khoo Kay Kim, kita tidak bersedia dengan penggantinya. Siapa sejarawan seterusnya?

Siapakah pengganti Allahyarham Prof Haron Din selepas perginya ulama tersohor ini? Begitu juga ilmuan dan cendekiawan bidang yang lain.

Pendek kata, sebut sahaja nama figura ini, semua orang tahu, malah “satu dunia tahu”. Cuba sebut pemimpin universiti yang ada hari ini, siapa tahu? Siapa kenal? Apa kehebatannya di luar kampus berhadapan dengan khalayak? Saya yakin, tiada jawapan. Itu yang saya katakan, hari ini, kita melahirkan sarjana berindeks, konon berimpak tinggi. Tersenarai dalam Scopus/ISI/jurnal berindeks/Q1, Q2, Q3 dan sebagainya, bukannya ilmuan dan cendekiawan tersohor.

Kita pun tertanya-tanya hebat sangatkan sarjana berimpak tinggi ini? Bila mengajar, pelajar tidur, tak faham. Bila kita tanya apa erti kehidupan, ternganga, tak tahu nak jawab apa.

Dalam kata lain kecerdasan emosi (EQ) dan kecerdasan spiritual (SQ) entah ke mana. Harapkan kecerdasan inteligen (IQ) sahaja. Itupun masih dipertikaikan, apabila kerjanya seharian, menerbit sebanyak artikel untuk naik pangkat. Tidak hairan jika ada dalam kalangan akademik yang umur baharu awal 30 tahun sudah bergelar professor (JUSA C). Seterusnya mengejar JUSA B, JUSA A dan …

Bukan salah mengejar pangkat, tetapi berpada-pada dalam mengejar ranking. Jangan terperangkap. Saya harap selepas kenyataan menteri selepas ini kita tidak lagi memilih pemimpin universiti hanya dinilai berasasakan berapa banyak penerbitan dalam jurnal berimpak tinggi.

Cuba tanya, kenapa universiti-universiti besar, di negara-negara besar, yang tidak kurang langsung hebatnya, seperti di China dan India, tidak mahu terlibat dalam mengejar ranking? Jawapannya, China mempunyai sistem pengukuran kualiti universiti tersendiri mengikut aspirasi komunis mereka. Maka China hanya tumpu kepada EQ dan IQ dalam bidang sains dan pembangunan negara. Jadi ini menyebabkan universiti-universiti China tidak lagi menyertai pengukuran kualiti mengikut perspektif Barat seperti QS ranking dan TIMES Higher Education Ranking.

Manakala India mempunyai pengukuran kualiti universiti tersendiri yang fokus kepada IQ, EQ, SQ dan jati diri India. Ini amat berlainan dengan pengukuran Barat. Matlamat kualiti pendidikan tinggi India adalah membangunkan jati diri, bangsa dan agama Hindu. (Iskandar Hasan Tan, 2020)

Berbeza dengan kita, seolah-olah ranking itulah tanda aras dalam menilai pencapaian dunia akademik. Jika tidak ada ranking seolah-olah kita gagal. Sedar atau tidak, kita sedang menghasilkan robot-robot hanya pandai menulis.

Sepatutnya semua universiti berlumba-lumba mencari pengganti ilmuan dan cendekiawan hebat yang telah pergi. Malangnya, terjebak dalam permainan ranking. Setiap tahun, The QS World University telah menyenaraikan kedudukan 1,000 universiti terbaik dunia berdasarkan enam kriteria iaitu penyelidikan, reputasi akademik, pengantarabangsaan, nisbah pelajar : pensyarah, kebolehpasaran graduan dan kapasiti pengajaran sesebuah universiti. Boleh dikatakan kedudukan 10 universiti terbaik dunia, kekal milik universiti yang hampir sama.

Menurut Anuar Ahmad (2019), The QS World University Rankings dari sudut sejarahnya diwujudkan untuk tujuan persaingan perniagaan bagi universiti swasta. Misalnya, MIT, Stanford, Harvard dan Oxford semuanya universiti swasta. Ranking sangat penting dalam perniagaan mereka. Bagi tujuan pemasaran, perlu kedudukan universiti swasta diketahui oleh para ibu bapa yang sedang memilih universiti untuk anak-anak mereka.

Malangnya, universiti awam mula terikut-ikut dengan tipu daya ini. Pensyarah dipaksa meningkatkan jumlah penerbitan, bagi tujuan kenaikan pangkat, tanpa mempedulikan berapa orang yang membaca dan memanfaatkan penerbitan yang kononnya berimpak tinggi.

Akibatnya, sebahagian pensyarah muda yang turut ‘gila’ dengan kenaikan pangkat dan gelaran pun berlumba-lumba mengejarnya, tanpa berpaling untuk melihat nilai-nilai keinsanan. EQ dan SQ mereka, seolah-olah ke laut. Puluhan juta ringgit dibelanjakan bagi tujuan ini. Bukan main seronok lagi pemimpin yang bergelar apabila kedudukan universiti mereka diumumkan antara terbaik dunia, khususnya di Asia.

Mereka ini tidak ubah seperti anak-anak yang menang dalam pertandingan ratu cantik sekolah. Mereka lupa matlamat dan falsafah sebenar kewujudan sesebuah universiti yang dipimpin.

Tidak ramai yang berfikir seperti Rektor UIA, Dzulkifli Abdul Razak (2020, 2023), yang begitu memahami makna ilmu (knowledge) dan kebijaksaan (wisdom). Saya tabik ilmuan sebegini.

Universiti awam seharusnya tidak terperangkap permainan perniagaan dan permainan universiti swasta. Universiti awam seharusnya mempunyai mekanisme sendiri untuk mengukur tahap kualiti mereka. Bukan menggunakan kayu ukur universiti swasta dan badan yang menjalankan perniagaan.

Universiti awam di Malaysia ditubuhkan adalah untuk pembangunan negara. Kita masih negara membangun. Kita perlukan universiti untuk memajukan masyarakat bukan sekadar mengejar kedudukan. (Anuar Ahmad 2019).

Apa guna penerbitan menggunung tinggi tapi kualiti hidup rakyat masih tidak berubah? Apa hebatnya penyelidikan dalam bidang pendidikan jika masih ramai kanak-kanak anak tercicir?

Apa faedahnya jurnal berimpak tinggi dalam pendidikan Islam, jika umat Islam masih terus bergelumang dengan masalah kebejatan sosial seperti dadah, seks bebas dan sebagainya? Apa erti mengejar ranking sebagai matlamat akhir sebuah universiti tidak akan menyelesaikan isu rasuah dan ketidakadilan sosial dalam negara. Ilmuan atau ahli akademik dengan ilmu yang tersemat di dada, perlu tampil berani dan menjalankan peranan amar makruf nahi mungkar, bukan menjadi mandul, takut bersuara, kerana takut hilang jawatan, pangkat dan gelaran.

Ingatlah, kerja kita terlalu banyak. Rakyat perlukan universiti awam untuk kita sama membantu mempertingkatkan kesejahteraan hidup mereka, melindungi mereka dari kezaliman, penganiayaan, penipuan serta membimbing mereka ke jalan benar dan diredai. Apakah kita sudah lakukan itu semua atau hanya bertumpu kepada kertas untuk naik pangkat? Jangan terlalu kejar habuan dunia, ia hanya bersifat sementara.

Sebab itu, saya puji langkah UniSZA, terus istiqamah dengan tag line, Flexible Education With Soul (FlexS), dalam maksud keanjalan pendidikan berasaskan roh (nilai). Teruskanlah kerja-kerja mulia dalam usaha untuk melahirkan sebuah universiti ulung melahirkan pelajar gemilang, cemerlang dan terbilang, tanpa menafikan pentingnya kualiti dan ranking.

Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button