Malang sekali bila sisa-sisa bidang kuasa Syariah cuba dicabul
Ahli Parlimen Melayu-Islam perlu sepakat gubal Perlembagaan, akta berkaitan lindungi mahkamah syariah

SAYA hadir dalam Himpunan Selamatkan Syariah di hadapan Istana Kehakiman Putrajaya sebagai menunjukkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada usaha melindungi serta memartabatkan undang-undang Islam di Malaysia
BERJASA Malaysia berpendirian bahawa:
1. Usaha memartabatkan undang-undang Islam di Malaysia merupakan satu usaha jangka masa panjang yang tidak mudah kerana kerangka Perlembagaan sedia ada masih berasaskan undang-undang Barat.
2. Walaupun agama Islam diiktiraf sebagai agama Persekutuan, namun bidang kuasa mahkamah syariah yang diperuntukkan dalam Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan dan Akta Mahkamah Syariah 1965 (Pindaan 1984) sebenarnya amat terhad.
3. Malangnya, sisa-sisa bidang kuasa yang amat kecil inilah yang cuba dicabul oleh individu yang amat membenci Islam dalam kes Iki Putra dan yang terkini Nik Elin (sedang berlangsung ketika himpunan ini) dengan didukung pelbagai entiti liberal termasuk Sister In Islam.
4. Nik Elin Zurina memohon Mahkamah Persekutuan mengistiharkan supaya 20 seksyen Mahkamah Syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan terbatal dan tidak sah. Ini termasuklah peruntukan berkaitan memusnahkan tempat ibadah, jenayah liwat serta pelbagai kesalahan seksual yang lain.
5. Jika Nik Elin Zurina menang, semua Enakmen Kanun Jenayah Syariah negeri-negeri lain akan mengalami nasib yang sama mengakibatkan runtuhnya kuasa Mahkamah Syariah secara total di negara kita.
6. Setiap pihak perlu memainkan peranan yang produktif mengikut kapasiti masing-masing. Kami menggesa semua ahli Parlimen Melayu beragama Islam untuk bersepakat menggubal Perlembagaan Persekutuan dan akta-akta berkaitan bagi melindungi dan memperkukuhkan mahkamah syariah di Malaysia.
7. Ini termasuklah menggubal Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan dan Akta Undang-Undang Sivil 1956 yang mengikat undang-undang negara kepada England Common Law yang merupakan tinggalan penjajah.
8. Sesi-sesi penerangan dan libat urus juga perlu dilakukan secara berstrategi dan tersusun bagi mendidik pemimpin masyarakat dan seluruh rakyat yang rata-rata masih cetek pengetahuan dan kesedaran tentang isu perundangan ini.
9. Anak-anak remaja dan pemuda-pemudi yang bijak dan berwibawa juga perlu digalakkan mempelajari serta mendalami bidang undang-undang terutamanya undang-undang syariah supaya negara dapat melahirkan lebih ramai pakar perundangan Islam pada masa akan datang.
10. Jihad perundangan ini amat panjang dan berliku. Semoga Allah SWT menyatukan umat ini atas perjuangan yang mulia sebagai asbab untuk membawa kita semua ke syurga insya-Allah.
Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim
Naib Presiden BERJASA