Berita Utama

Aman Palestin lancar kempen Bantuan Musim Sejuk

Zahir kebersamaan dengan rakyat Palestin, Syria dan Yaman

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 7 Jamadilawal 1445H, Selasa – Rakyat Palestin khususnya penduduk Gaza ketika ini bukan sahaja kehilangan tempat berteduh malah ketiadaan sumber bekalan makanan serta kehabisan sumber air bersih sejak perang tercetus 7 Oktober lalu.

Lebih memeritkan lagi kehidupan mereka adalah ketibaan musim sejuk yang dihadapi tanpa persediaan yang boleh menjurus kepada timbulnya pelbagai masalah.

Justeru, Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) mengambil inisiatif untuk menganjurkan kempen Bantuan Musim Sejuk sekali gus menyambut seruan pembebasan Palestin.

Pengurus Besar Pemasaran Aman Palestin Berhad, Muhd Farhan Muhd Fadhil berkata, kempen ini membuka ruang untuk masyarakat menzahirkan kebersamaan mereka bersama rakyat Palestin mahupun Syria dan Yaman dengan menghulurkan sumbangan yang terbaik.

“Dengan keperluan mendesak bagi membaiki keadaan perang yang terlampau besar, Aman Palestin bertekad mengumpulkan sumbangan sebanyak yang mungkin bagi mengagihkan bantuan berbentuk kotak makanan, pemanas dan kerosin, bantuan musim sejuk dan bantuan klinikal.

“Pendekatan kami pastinya lebih mudah dengan usaha yang ampuh di antara Aman Palestin dengan rakan kerjasama di setiap negara dalam menguruskan bantuan dengan sistematik,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Aman Palestin di sini, hari ini.

Muhd Farhan berkata, Aman Palestin juga akan menghantar bantuan musim sejuk ke Syria pada pertengahan Disember ini bersama dengan beberapa rakan strategik bagi tujuan membangun amanah seluruh rakyat Malaysia ke bumi Syria.

“Dalam krisis perang yang sedang berlaku dan kehadiran musim sejuk yang mencengkam ini, Aman Palestin menyeru seluruh rakyat Malaysia, Indonesia dan serantau agar menjadikan sumbangan harta sebagai pengorbanan yang boleh kita laksanakan bagi memastikan rakyat Palestin terus teguh dan tidak keluar dari bumi Gaza.

“Pastinya sumbangan kita ini adalah satu usaha ke arah pembebasan Palestin seperti fatwa yang disampaikan oleh Setiausaha Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Sheikh Dr Ali Al-Qaradaghi,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button