Berita Utama

Kos sara hidup tinggi dorong rakyat kita tinggal jauh dari bandar

Perjalanan jauh ke tempat kerja, pakar beri amaran risiko kesihatan mental

KUALA LUMPUR, 4 Syaaban 1445H, Rabu – Jumlah rakyat Malaysia yang berpindah dari pusat bandar ke pinggir bandar semakin meningkat, berikutan peningkatan kos sewa rumah di bandar-bandar utama.

Mereka yang berpindah ke kawasan pinggir bandar juga tertarik dengan fakta bahawa hartanah lebih luas boleh disewa dengan harga yang lebih murah.

Keputusan ini didorong oleh keperluan untuk mengurangkan kos dan menampung keperluan yang semakin meningkat. 

Namun, kerana memilih untuk tinggal di pinggir bandar, rakyat Malaysia perlu menghadapi perjalanan yang lebih panjang, malah ada yang terpaksa melakukan perjalanan berjam-jam setiap hari hanya untuk pergi ke tempat kerja.

Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, kebanyakan syarikat melaksanakan penggunaan aturan kerja hibrid yang semakin meluas – satu model gabungan yang merupakan bentuk kerja yang fleksibel – membolehkan pekerja berkerja dari mana-mana sahaja atau di pejabat.

Ini menyumbang kepada kemahuan mereka untuk beralih dari kediaman di bandar ke pinggir bandar terutama di kawasan perumahan yang mempunyai fasiliti pengangkutan awam yang baik.

Ketua Pegawai Eksekutif Speedhome (platform untuk menyewa hartanah), Wong Whei Meng seperti dilapor New Straits Times berkata, selain peningkatan kos sara hidup, peralihan itu juga didorong oleh rangkaian pengangkutan awam yang bertambah baik.

“Apabila kos sara hidup meningkat, jarak perjalanan menjadi kurang membimbangkan kerana pengaturan kerja hibrid.

“Rangkaian pengangkutan awam yang lebih baik juga mendorong orang ramai berpindah ke pinggir bandar,” katanya.

Selain itu, kenaikan harga hartanah dan ketidaktentuan ekonomi juga menyumbang kepada perubahan ketara dalam trend sedemikian, di mana orang ramai lebih cenderung untuk menyewa berbanding membeli hartanah.

Laporan Pasaran Hartanah Malaysia PropertyGuru bagi suku keempat 2023 menunjukkan kejatuhan 5.9 peratus dalam Indeks Permintaan Jualan pada suku ketiga.

Laporan itu juga menunjukkan lonjakan ketara sebanyak 24 peratus dalam permintaan untuk sewa dari suku keempat 2021 hingga suku ketiga 2022.

Tinjauan Sentimen Pengguna PropertyGuru Malaysia bagi separuh kedua 2023 menunjukkan harga hartanah yang tinggi telah menghalang 87 peratus bakal pembeli rumah, dengan 66 peratus tidak digalakkan oleh kadar faedah yang tinggi.

Ramai yang tertarik kepada alternatif yang lebih berpatutan seperti menyewa.

“Kira-kira 65 peratus daripada peserta kaji selidik terus menyewa kerana mereka kekurangan simpanan untuk membeli rumah,” kata laporan itu.

Pakar memberi amaran tempoh perjalanan lama berulang alik kerja boleh membawa kepada masalah kesihatan mental.

Isu kesihatan mental termasuk tahap tekanan yang meningkat apabila duduk di dalam kenderaan untuk jangka masa yang lama.

Ini kemudian menyumbang kepada keadaan kesihatan lain, yang boleh menyebabkan kematian awal.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button