Berita Utama

Mangsa nahas pesawat ditemukan dalam kokpit pada kedalaman 1.52 meter dalam tanah

Guna naedah penggalian manual dengan bantuan jentera berat

SHAH ALAM, 4 Syaaban 1445H, Rabu – Dua mangsa nahas kejadian pesawat ringan model BK 160 Gabriel yang terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar, Klang hari ini ditemukan berada di dalam kokpit pesawat pada kedalaman 1.52 meter di dalam tanah, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), Selangor Wan Md. Razali Wan Ismail.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata mangsa pertama berjaya dikeluarkan pada pukul 7.06 malam disusuli mangsa kedua 11 minit kemudian.

“Kedua-dua mangsa berada di dalam kokpit pesawat ketika ditemui, meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Wan Md Razali berkata, usaha pencarian dilakukan oleh pihak bomba dengan menggunakan kaedah “sweeping” dalam jarak 800 meter daripada cebisan sayap pesawat sehingga ke bangkai utama pesawat yang dipercayai terjunam ketika penerbangan.

Beliau berkata, pihaknya juga menggunakan kaedah penggalian secara manual dengan bantuan jentera berat berdasarkan cebisan-cebisan mayat yang ditemukan di sekitar bangkai pesawat.

Katanya, kerja mencari mangsa juga dibantu pasukan bomba sukarela, polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan penduduk sekitar.

Terdahulu, media melaporkan juruterbang dan seorang pembantu juruterbang disahkan maut nahas terbabit dan kedua-dua mayat itu dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk proses bedah siasat.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata mengikut manifes yang didaftarkan, nama mangsa yang terbunuh ialah juruterbang Daniel Yee Hsiang Khoon, 30, dan pembantu juruterbang Roshaan Singh Raina, 42. – Bernama

2

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button