Berita Utama

Sultan Selangor titah pentadbiran Islam perlu bebas pengaruh politik kepartian

Amalan lantik menteri agama bukan dari kalangan ahli politik perlu diteruskan

SHAH ALAM, 5 Syaaban 1445H, Khamis – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru dan menggesa semua pihak, termasuk pakar-pakar perundangan agar membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-undang Islam (Jawatankuasa Khas) dengan memberikan cadangan-cadangan berilmiah, bernas serta praktikal bagi memudahkan pelaksanaan tugasnya.

“Beta faham adalah menjadi satu amanah yang berat yang perlu dipikul oleh Jawatankuasa Khas ini, namun Beta percaya dengan pengalaman dan kelayakan yang ada pada ahli-ahli Jawatankuasa ini serta dengan izin Allah, satu penyelesaian dapat dicapai bagi manfaat semua pihak terutama umat Islam di negara ini.

“Sementara itu, Beta menyeru kepada semua pihak terutama umat Islam agar bertenang dan tidak menimbulkan sebarang kekecohan sementara menantikan cadangan dari Jawatankuasa Khas berkenaan,” titah baginda.

Sultan Selangor turut menasihatkan umat Islam di negara ini terutama para alim ulama dan para ilmuan Islam agar sentiasa memelihara adab dalam mencetuskan sesuatu pandangan bagi mengelakkan timbulnya kekeliruan dalam kalangan umat Islam.

Baginda turut menasihatkan umat Islam supaya tidak berbalah secara terbuka dalam perkara yang boleh diselesaikan secara bermesyuwarah dan tertutup di samping perlu meraikan perbezaan pendapat, menyelesaikan perbezaan pandangan melalui pendekatan ilmiah, berhemah serta melalui saluran yang betul.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button