Berita Utama

Berbulan-bulan susah nak jumpa beras tempatan, alih-alih keluar Beras Madani

Kenapa RM30 untuk 10kg? Siapa pengilang Beras Putih Malaysia Madani?

BANGI, 6 Syabaan 1445H, Jumaat – Keputusan kerajaan memperkenalkan Beras Putih Malaysia Madani bagi menggantikan kategori beras putih tempatan dan import di pasaran negara ini, tidak diterima baik oleh rakyat.

Beras itu yang bakal menjadi kategori tunggal bagi beras putih menimbulkan pelbagai persoalan terutama daripada pihak pemain industri dan juga pembeli.

Hairan dengan isu ini, orang awam mula mempersoalkan ke mana perginya beras tempatan selama beberapa bulan lalu, sehingga menyebabkan mereka terpaksa membeli beras import pada harga yang lebih tinggi.

Lebih menambahkan persoalan, kerajaan membuat ‘kejutan’ dengan memperkenalkan Beras Putih Madani Malaysia dengan harga siling baharu.

Kelmarin, Pengerusi Jawatankuasa Menangani Harga Makanan dan Kos Sara Hidup, Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal. berkata, harga siling baharu bagi beras putih ditetapkan pada kadar RM30 bagi kampit 10 kilogram (kg) manakala RM15.50 (5kg) dan RM3.50 (1kg).

Ia akan mula berkuatkuasa pada Isnin (19 Februari) dan beras ini akan berada di pasaran pada 1 Mac.

Syed Abu Hussin Hafiz berkata, penetapan harga siling Beras Putih Malaysia Madani itu juga muncul sebagai mekanisme menoktahkan tindakan pemanipulasian bekalan beras putih tempatan.

Ini kerana, katanya, segelintir pengeluar sebelum ini dikenal pasti mencampurkan beras putih tempatan dengan kampit beras putih import, bertujuan meraih keuntungan lebih.

Membidas kenyataan itu, salah seorang pengguna Facebook, Baba Panjang mempersoalkan harga siling baharu yang ditetapkan kerajaan campuran ini.

“Kenapa RM30? Kenapa tak RM28 ke, RM20 ke? Rasa macam idea kedai 1Malaysia. Dulu pun ada barang-barang 1Malaysia. Ishhh siapa lah pengilang beras madani ni.. Mesti kaya sangat,” katanya.

Shukrie Rieey yang turut tidak berpuas hati dengan pelaksanaan harga siling baharu ini berkata,” Puluhan tahun tak ada isu pun beras tempatan hilang di pasaran. Bila Pakatan Harapan (PH) jadi kerajaan menyusahkan rakyat.”

Manakala pengguna Facebook dengan nama Razaly Othman mempersoalkan ke mana perginya beras tempatan selama beberapa bulan ini.

“Yang hairannya mana perginya berss tempatan? Harga barang naik.. Ingat semakin turun…. Tunaikanlah janji janji semasa berkempen dulu,” katanya.

Sementara itu, Shafiq Hamzah berpandangan bahawa tidak logik beras import yang bernilai RM3,200 bagi setiap per tan metrik perlu dicampurkan dengan beras tempatan yang dikatakan hilang untuk mendapatkan harga jualan RM30 bagi 10kg.

“Kilang beras mana yang nak jual harga macam itu sedangkan mereka nikmati untung daripada harga beras import RM3,200/tan dan dijual pada harga rm40/10kg,” soalnya.

Rahimi Osman pula bimbang akan kesan-kesan yang bakal timbul jika semua beras dijual selaras dengan Harga Beras Putih Malaysia Madani, termasuk beras import.

“Saya risau pengeluar beras import tidak lagi mahu jual beras kerana tidak sepadan. Tinggal beras tempatan sahaja dalam pasaran dan akan timbul masalah lebih besar, tidak cukup beras langsung dalam negara. Rakyat kategori T20, M40 dan B40 akan berebut beli beras.

“Yang berduit boleh simpan bekalan beras banyak-banyak. Yang tiada duit mula tanam ubi kentang balik macam zaman Jepun,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button