Berita Utama

Ketua tentera Israel gesa anggotanya henti rompak rumah Palestin

Larang buat grafiti tak perlu di dinding, tonjol kerosakan disiplin

GAZA, 7 Syaaban 1445H, Sabtu – Ketua tentera Israel memberi amaran kepada anggotanya supaya berhenti merompak selepas banyak video tersebar menunjukkan rumah di Gaza digeledah dengan rakus.

Laman web berita Ynet Israel melaporkan, Herzi Halevi telah mengingatkan komander dan tentera untuk tidak lagi mencuri, membuat grafiti di dinding atau melakukan sebarang masalah disiplin.

Gesaan itu merujuk kepada beberapa video dalam talian yang menunjukkan tindakan ganas dan provokatif yang didakwa tidak mempunyai kaitan dengan matlamat untuk memusnahkan Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas).

Dalam satu video, seorang tentera dilihat berbangga mencuri kalung perak dari rumah di Gaza untuk dibawa pulang kepada teman wanitanya di Israel. 

Satu lagi video menunjukkan seorang tentera mencuri permaidani dari rumah Palestin, dan yang ketiga menunjukkan seorang tentera mencuri cermin tradisional dari sebuah rumah.

Video lain menunjukkan seorang pegawai Israel mencuri alat solek, bahkan ada juga rejim yang biadab membakar bekalan makanan dan air penduduk Palestin.

Kecurian dan vandalisme

Pada bulan Januari, Ketua Pihak Berkuasa Antikuiti Israel berundur selepas rejim Israel mempamerkan beberapa artifak yang dicuri dari Gaza di Knesset.

Dia telah menerbitkan foto dan video di akaun Instagramnya mendakwa, timbalannya pergi ke Gaza untuk meninjau barang antik, yang dilaporkan telah dipamerkan di Parlimen Israel.

Menurut Ynet, gesaan Halevi tidak mendapat sokongan ramai komander, yang kononnya bakal menjejaskan semangat tentera Israel. 

 

Terdahulu, pejabat media kerajaan Gaza berkata, sejak 7 Oktober tentera Israel telah merompak wang, emas, dan artifak bernilai sekitar $25 juta.

“Kami mempunyai ‘berpuluh-puluh saksi’ yang disediakan penduduk Semenanjung Gaza.

“Operasi kecurian berlaku dalam pelbagai cara, yang pertama adalah di pusat pemeriksaan, seperti Jalan Salah al-Din.

“Mereka mencuri daripada pelarian yang telah berpindah dari utara Semenanjung Gaza ke selatan, beg mereka mengandungi wang, emas, dan artifak,” kata pejabat itu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button