Berita Utama

Mesir sedia tempat buat penduduk Palestin rentas sempadan

Kerajaan nafi, tapi ada bukti zon penampan sedang dibina

SINAI, 7 Syaaban 1445H, Sabtu – Mesir didakwa mula menyediakan kawasan di sempadan Gaza bagi menampung penduduk Palestin sekiranya serangan Israel ke atas Rafah berterusan. 

Mesir berulang kali memberi amaran kemungkinan serangan Israel di Gaza boleh memindahkan penduduk Palestin ke Sinai – situasi yang tidak boleh diterima sama sekali.

Bagaimanapun, Ketua Perkhidmatan Maklumat Negara Mesir berkata, sumber itu ‘tidak mempunyai asas kebenaran’.

Kerajaan Israel mendakwa serangan itu bertujuan untuk memusnahkan Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas), bukan mengusir rakyat Palestin.

Menteri Luar Israel Israel, Katz hari ini berkata, Tel Aviv tidak mempunyai rancangan untuk mengusir rakyat Palestin dari Gaza dan akan mencari jalan untuk tidak membahayakan kepentingan Mesir. 

Tetapi ramai menteri dan pemimpin masyarakat Israel telah menganjurkan penempatan semula penduduk Palestin di luar Gaza.

Dua pegawai Israel yang dihubungi Reuters pada hari Jumaat enggan mengulas mengenai laporan rancangan kontingensi Mesir.

Israel mendakwa, tenteranya sedang merangka rancangan untuk memindahkan orang awam dari Rafah ke bahagian lain di Semenanjung Gaza.

Laporan Reuters muncul selepas Yayasan Hak Asasi Manusia Sinai berkata, ia memperoleh bukti fotografi baharu bahawa pihak berkuasa Mesir sedang membina zon penampan keselamatan yang dikelilingi tembok di bandar Mesir Rafah, timur Sinai.

The Wall Street Journal dan New York Times kemudiannya mengesahkan pendedahan itu dengan WSJ berkata: Pihak berkuasa Mesir khuatir tentera Israel menolak lebih jauh ke selatan Gaza yang menyebabkan kebanjiran pelarian di Gurun Sinai.

Penduduk yang tinggal di khemah di Rafah, Um Zaki berkata, dia tidak mempunyai tempat untuk pergi bersama lima anaknya, kerana sudah dua kali melarikan diri.

“Mungkin mereka akan memaksa kami masuk ke Sinai dengan menghantar kereta kebal masuk.

“Sesetengah orang tidak akan berfikir dua kali dan akan memanjat tembok untuk menyelamatkan nyawa mereka dan anak-anak,” kata lelaki berusia 49 tahun itu kepada Reuters oleh telefon.

“Ini bukan yang saya takutkan. Saya khuatir ia akan menjadi Nakba kedua dan kami tidak akan kembali ke Gaza.

“Adakah ada perjanjian pada saat akhir untuk menyelamatkan Rafah, menyelamatkan Semenanjung Gaza? Saya hanya berharap keajaiban itu berlaku,” karanya lagi.

Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian berkata, limpahan pelarian dari Rafah ke Mesir akan menjadi bencana dan pihak berkuasa Mesir perlu membantu rakyat Palestin.

“Situasi ini malapetaka buat Palestin… bencana bagi Mesir dan bencana untuk masa depan keamanan,” kata Filippo Grandi di luar Persidangan Keselamatan Munich. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button