Berita Utama

Pemimpin Aman Palestin, dua lagi NGO Islam disenarai dalam Pusat Pemeriksaan Pengganas FBI

Ops Ihsan sahkan surat bocor yang tular sahih, terima dari kementerian Luar

BANGI, 7 Syaaban 1445H, Sabtu – Tiga pemimpin NGO Islam berasingan yang konsisten menguruskan bantuan ke Asia Barat termasuk Palestin telah disenaraikan dalam Terrorist Screening Centre atau Pusat Pemeriksaan Pengganas (TSC) oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).

Tiga pemimpin berkenaan adalah Abu Bakar Abdul dari Dunia Melayu Dunia Islam, Ahmad Musa Al Nuwayri Kamaruzaman dari Cinta Syria Malaysia dan Awang Suffian Awang Piut dari Aman Palestin.

Menerusi surat tular yang bocor bertarikh 9 Februari, ketiga-tiga individu berkenaan tidak dibabitkan dalam Ops Ihsan yang menguruskan penghantaran bantuan kemanusiaan rakyat Malaysia kepada rakyat Palestin di Gaza.

Mengesahkan perkara itu, Pengerusi Sekretariat Ops Ihsan, Jismi Johari tidak menyangka dokumen berkenaan dibocorkan dan telah ditularkan di media sosial.

Beliau berkata,  surat berkenaan adalah pemakluman secara rasmi daripada Kementerian Luar.

“Surat berkenaan sahih. Surat berkenaan adalah surat pemakluman daripada Kementerian Luar bahagian Asia Barat kepada saya,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Jismi menjelaskan, pihaknya merancang mengadakan mesyuarat bersama Sekretariat Induk Ops Ihsan Isnin ini untuk membincangkan sebarang bentuk tindakan lanjut.

“Saya perlu berbincang dengan ahli sekretariat dan jawatankuasa Ops Ihsan untuk tindakan seterusnya.

“Saya juga bercadang menghubungi tiga NGO terbabit serta tiga penama itu bahawa mereka tersenarai dalam senarai pemerhatian FBI.

“Namun saya tidak sempat berbuat demikian kerana surat berkenaan terlebih dahulu dibocorkan,” katanya.

Ops Ihsan merupakan inisiatif yang dilancarkan oleh Kementerian Luar bersama 45 buah NGO, antaranya Global Peace Mission Malaysia, Mercy Malaysia, BeVital, MyAqsa Defenders, ABIM, Aman Palestin, Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Cinta Gaza Malaysia dan juga Malaysian Relief Agency (MRA).

Pada 16 Disember 2023, PDRM telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi FBI yang diketuai oleh Pengarah FBI, Christopher A. Wray di  Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman bagi membincangkan  isu-isu berbangkit melibatkan Malaysia dan Amerika Syarikat.

FBI juga membuat kunjungan hormat ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 18 Disember 2023 bagi memperkasakan kerjasama menentang rasuah termasuk dalam aspek pencegahan pengubahan wang haram di peringkat antarabangsa.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button