Berita Utama

KDN semak fakta 3 pemimpin NGO Malaysia disenarai pengganas oleh FBI

Saifuddin dakwa baru tahu, belum bersedia beri fakta tangkap muat

BANGI, 9 Syaaban 1445H, Isnin – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menyemak fakta berhubung tindakan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) menyenaraikan tiga pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) Islam di negara ini dalam Pusat Pemeriksaan Pengganas (TSC).

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau sudah sudah menghubungi Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berhubung perkara itu bagi mendapatkan gambaran yang lebih tepat.

“Saya pun baru mengetahui perkara itu dua hari lepas dan sudah menghubungi Ketua Polis Negara untuk dapat gambaran tepat.

“Apa yang kita tahu ialah FBI membuat permohonan berkaitan perkara itu, jadi kita kena semak dahulu fakta yang tepat.

“Saya tak bersedia beri fakta tangkap muat atau samar-samar,” katanya seperti dipetik media tempatan, hari ini.

Sebelum ini, tiga pemimpin NGO Islam berasingan yang konsisten menguruskan bantuan ke Asia Barat termasuk Palestin telah disenaraikan dalam TSC oleh FBI.

Tiga pemimpin berkenaan adalah Abu Bakar Abdul dari Dunia Melayu Dunia Islam, Ahmad Musa Al Nuwayri Kamaruzaman dari Cinta Syria Malaysia dan Awang Suffian Awang Piut dari Aman Palestin.

Susulan itu, Kementerian Luar mengarahkan ketiga-tiga individu berkenaan tidak dibabitkan dalam Ops Ihsan yang menguruskan penghantaran bantuan kemanusiaan rakyat Malaysia kepada rakyat Palestin di Gaza.

Pengerusi Sekretariat Ops Ihsan Jismi Johari mengesahkan kesahihan surat pemakluman berkenaan yang diterimanya daripada Kementerian Luar bahagian Asia Barat.

Menurut beliau, surat berkenaan adalah pemakluman secara rasmi daripada Kementerian Luar namun tidak menyangka dokumen berkenaan dibocorkan dan ditularkan di media sosial.

Berita berkaitan:

Pemimpin Aman Palestin, dua lagi NGO Islam disenarai dalam Pusat Pemeriksaan Pengganas FBI

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button