Berita UtamaDunia

Polis Israel, Shin Bet bercanggah pendapat isu had jemaah Palestin masuk al-Aqsa

Pegawai keselamatan bimbang keputusan menteri tingkatkan ketegangan di Tebing Barat, Baitulmaqdis Timur

TEL AVIV, 9 Syaaban 1445H, Isnin – Polis Israel bercadang untuk menempatkan pasukan keselamatan di Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur yang diduduki sepanjang bulan Ramadan.

Menurut laporan rangkaian bahasa Arab-Israel, Makan, langkah itu kononnya bertujuan menangani kibaran bendera dan ‘hasutan’ Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas).

Polis turut mengesyorkan menetapkan had umur dan mengehadkan bilangan jemaah Palestin yang dibenarkan masuk ke perkarangan masjid.

Cadangan itu bagaimanapun ditentang oleh perkhidmatan keselamatan Israel, Shin Bet, yang mengesyorkan akses tanpa had untuk jemaah Palestin.

Ketika perbincangan antara pelbagai agensi kerajaan mengenai isu itu, pegawai keselamatan membangkitkan kebimbangan bahawa Menteri Keselamatan Negara sayap kanan, Itamar Ben Gvir akan membuat keputusan yang boleh meningkatkan ketegangan di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur yang diduduki.

Sabtu lalu, Ben Gvir menggesa larangan terhadap penduduk Palestin melawat Masjid al-Aqsa ketika Ramadan yang bermula pada 10 Mac.

Penyiar Israel, Channel 12 melaporkan bahawa Ben Gvir juga mendesak untuk melarang warga Palestin – Israel di bawah umur 70 tahun daripada memasuki kawasan itu.

Usaha untuk menghentikan serangan Israel selama empat bulan di Semenanjung Gaza jelas rumit dengan rancangan Israel untuk melancarkan operasi ketenteraan di bandar paling selatan Gaza, Rafah, di mana kira-kira 1.5 juta orang mencari perlindungan.

Prospek untuk gencatan senjata sebelum Ramadan semakin malap pada Ahad, apabila pengantara Qatar berkata, rundingan gencatan senjata berasingan telah menemui jalan buntu, manakala AS pula memaklumkan ia akan memveto kemungkinan undi Majlis Keselamatan PBB pada resolusi minggu depan.

Di samping risiko bahawa sekatan ke atas al-Aqsa boleh mencetuskan kekacauan di Tebing Barat yang diduduki – di mana Israel telah meningkatkan serbuan hampir setiap hari sejak permulaan perang pada 7 Oktober – serangan ke atas Rafah menjelang Ramadan boleh menegangkan lagi keadaan.

Sekurang-kurangnya 398 rakyat Palestin telah dibunuh oleh tentera atau peneroka haram Israel di Tebing Barat dalam tempoh empat bulan lalu, lapor Kementerian Kesihatan Palestin.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button