Berita Utama

Nasionalis minta kerajaan segera tubuh kementerian khas urus Tanah Rizab Melayu

Pemimpin Melayu perlu sedar sudah banyak tanah rizab hilang tak diganti

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

KUALA LUMPUR, 13 Syaaban 1445H, Jumaat – Nasionalis hari ini menggesa kerajaan menubuhkan satu kementerian khusus yang dinamakan Kementerian Tanah dan Hal Ehwal Peribumi bagi mengurus, merancang dan membangunkan Tanah Rizab Melayu.

Pengerusinya, Aminuddin Yahaya menegaskan, peranan portfolio kementerian ini amat besar memandangkan sehingga kini masih belum ada pihak yang memikul tanggungjawab berkenaan.

Menurutnya, pemimpin politik Melayu sama ada dalam kerajaan ataupun pembangkang perlu mengambil perhatian terhadap cadangan ini kerana sudah ribuan tanah rizab hilang dan tidak diganti.

“Nasionalis mencadangkan semua pihak Pejabat Tanah Dan Galian membenarkan pihak kami membuat semakan terhadap kedudukan tanah di negeri masing-masing. Ini kerana sehingga hari ini kita tidak ada maklumat yang sah tentang bagaimana dan berapa banyak lagi Tanah Rizab Melayu yang tinggal.

“Kita akan tulis surat kepada PTG untuk mereka bincangkan apa status sebenarnya,” katanya pada sidang media di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Aminuddin berkata, Nasionalis mengesyorkan pemberian tanah rizab kepada penduduk Melayu yang terpinggir terutamanya tentera yang berperang mempertahankan negara.

Turut disyorkan penubuhan Lembaga Amanah Tanah Rizab Melayu bagi tujuan pemantauan amanah mencukupkan hak peruntukan tanah rizah Melayu ini, katanya.

“Kena ada satu lembaga yang tengokkan Tanah Rizab Melayu ini. Sekarang ini tiada pihak pun yang bertanggungjawab untuk melihat perkara ini sebab itu mereka boleh buat suka rela sahaja perkara ini,” katanya.

Terdahulu, Penyelidik, Penulis dan Penceramah Sejarah Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia (IAMM) dan Sejarah Tamadun Alam Melayu, Zaharah Sulaiman memaklumkan, isu ini masih belum ada penyelesaian walaupun sudah dibangkitkan banyak kali.

Walaupun semakin parah, beliau berkata, tidak ada penampakan usaha kerajaan untuk menyelesaikan isu Tanah Rizab Melayu ini bukan sahaja di Persekutuan malah di Semenanjung Tanah Melayu.

“Kita mengharapkan apabila kita membuat sesuatu, kerajaan tolong ambil perhatian dan peduli tetapi apa yang dibuat lagi ‘menindas’ orang Melayu. Kalau kita lihat baru-baru ini kampung di Cheras, Setapak Jaya, Gombak 2, di Pahang sepanjang-panjang jajaran ECRL. Semua lunggah saja Tanah Rizab Melayu.

“Ke mana pergi akal fikirannya? Pemimpin-pemimpin Melayu ini berfikir ke tidak. Kita memang tidak harapkan sangat parti-parti bangsa lain tetapi apa UMNO buat untuk membela nasib-nasib orang yang menduduki tanah itu beratus-ratus tahun terutama sekali Orang Asli.

“Ada ke UMNO bersuara? Ada tak ia menyuarakan sesuatu kepada kerajaan supaya jangan usik Tanah Rizab Melayu itu?” soalnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button