Berita Utama

Prestasi usahawan Bumiputera tak bergantung pada bukan Melayu

Tiada jaminan penglibatan bukan Melayu dalam KEB bawa anjakan paradigma

BANGI, 14 Syaaban 1445H, Sabtu – Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 perlu kepada ekosistem tersendiri dalam usaha memartabatkan usahawan Bumiputera.

Situasi itu harus mengambil kira elemen penerapan nilai Islam dan pembudayaan perniagaan yang berteraskan konsep halalan toyibban.

Justeru, tidak wajar kaum bukan Melayu terbabit sama dalam kongres yang akan berlangsung pada hujung bulan ini.

Pengerusi Biro Ekonomi Perkasa Malaysia, Izhar Kahar berkata, prestasi usahawan Bumiputera bukan terletak pada input-input daripada bukan Melayu.

Bahkan tiada jaminan pembabitan mereka di dalam KEB – yang bertujuan membentuk dasar mengutamakan Bumiputera – dapat membawa anjakan paradigma yang amat ketara kepada usahawan dan perniagaan Melayu.

Ini kerana pembabitan mereka adalah hanya sebagai pemegang taruh lapis menengah (secondary stakeholder).

“Penglibatan kaum bukan Melayu seolah satu manifestasi atau ‘gesture’ yang meletakan mereka sebagai ‘upper hands’ atau ‘superior’ dalam merangka dasar-dasar KEB.

“Walhal, komitmen utama memperkasa usahawan Bumiputera terletak sepenuhnya pada kerajaan semasa khasnya Kementerian Ekonomi.

“Terdapat kemungkinan input dan pandangan bukan Melayu akan menimbulkan ‘clash of strategic fit’.

“Ini kerana pembudayaan, etika dan ekosistem perniagaan yang diamalkan sejak turun temurun dan zaman berzaman oleh usahawan usahawan Cina atau bukan Melayu jelas mempunyai jurang perbezaan yang besar berbanding pembudayaan, etika dan penerapan nilai-nilai Islam di kalangan usahawan usahawan Bumiputera,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) memaklumkan pihaknya mahu KEB 2024 hanya disertai masyarakat Bumiputera.

Presidennya, Norsyahrin Hamidon berkata, kaum lain tidak wajar untuk dibabitkan dalam KEB 2024 kerana ia dikhususkan untuk membincangkan isu serta permasalahan dalam kalangan Bumiputera.

Bersependapat dengan pandangan DPMM itu, Izhar berkata, langkah membabitkan pihak berkenaan dalam KEB merupakan satu kecelaruan fokus dalam memperkasa usahawan Bumiputera.

“Ia seolah-olah mempunyai agenda agenda lain yang berteraskan politik,” katanya.

Selain itu katanya, statistik penglibatan dan prestasi pencapaian usahawan Bumiputera wajar dianalisa secara terperinci bagi mewujudkan tanda aras bagi mengukur dan menilai keberkesanan dasar-dasar yang telah digubal dan dilaksanakan sebelum ini.

Katanya, intipati KEB wajar mengambil kira dapatan daripada analisa kekuatan, kelemahan, peluang dan cabaran serta analisa kegagalan perniagaan perniagaan Bumiputera bagi mewujudkan rancangan, strategi dan hala tuju baik pulih serta intervensi yang lebih berkesan dalam mengurus kelemahan, cabaran dan kegagalan perniagaan Bumiputera di pelbagai peringkat dan sektor.

Malahah KEB sebagai sebuah agenda nasional, sepatutnya diselaraskan dengan pelbagai dasar pemerkasaan ekonomi Bumiputera yang bertindih yang telah dirangka sebelum sebelum ini seperti Dasar Tindakan Pembangunan Bumiputera (2021–2030).

“Pelbagai agensi-agensi pelaksana selama ini telah gagal membawa usahawan Bumiputera ke tahap pencapaian atau prestasi yang menepati sasaran dan unjuran kerana kecelaruan petunjuk prestasi utama (KPI).

“Kementerian-kementerian dan agensi-agensi kerajaan lebih fokus dan teruja terhadap KPI dalaman dan institusi mereka yang lebih menekankan statistk tetapi bukan terhadap pencapaian prestasi usahawan dan kesinambungan perniagaan-perniagaan Bumiputera.

“Justeru, KEB 2024 wajar dimanafaatkan sebagai platform atau wadah bagi mengurus kelemahan dan kesilapan dasar dasar lepas untuk terus memperkasa usahawan usahawan Bumiputera,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button