Berita Utama

Tiada peruntukan halang pertubuhan beli aset untuk pelaburan

Perlembagaan Pertubuhan peruntuk kegiatan ekonomi termasuk beli, labur aset

BANGI, 14 Syaaban 1445H, Sabtu – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) melihat pembelian aset oleh sesebuah pertubuhan adalah menjurus kepada kelangsungan dan kestabilan bagi menjamin kemampanan pertubuhan tersebut.

Ketua Pengarah JPPM, Datuk Mohd Zulfikar Ahmad berkata, perkara itu bagaimanapun perlu selari dengan tujuan dan matlamat penubuhan pertubuhan itu.

Dalam memastikan tadbir urus pertubuhan adalah baik, setiap pertubuhan perlu memastikan pentadbiran pertubuhan adalah teratur, katanya.

Justeru, kaedah serta tujuan pembelian aset perlulah selari dengan matlamat dan tidak bercanggah dengan prinsip asas penubuhan pertubuhan serta undang-undang yang berkuatkuasa.

“Segala tindakan yang diambil oleh pertubuhan perlu berpandukan kepada Perlembagaan Pertubuhan,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Pun begitu, tiada undang-undang diperuntukan di bawah Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832] yang menyatakan bahawa sesebuah pertubuhan atau persatuan dibenarkan untuk membeli aset untuk tujuan pelaburan.

Namun demikian, Zulfikar berkata, peruntukan berkenaan ada dinyatakan di dalam Perlembagaan Pertubuhan (Undang-Undang Tubuh) itu sendiri,

“Di dalam perlembagaan itu di bawah Fasal Sumber Kewangan yang mana pertubuhan boleh menjalankan kegiatan ekonomi seperti membeli, menjual, melabur, menyewa, memiliki harta alih dan tidak alih serta lain-lain kegiatan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button