Berita Utama

Wisma Putra perlu bersihkan nama NGO yang dituduh senarai pengganas FBI

Tiga NGO Islam konsisten bantu rakyat Palestin

BANGI, 14 Syaaban 1445H, Sabtu – Wisma Putra seharusnya bertindak membersihkan nama tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di negara ini yang dikategorikan sebagai pengganas oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).

Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP), Datuk Ahmad Yahaya berkata, langkah itu amat penting kerana kumpulan NGO ini konsisten membantu rakyat Palestin.

Bahkan ia juga bagi mempertahankan imej negara daripada tohmahan terbabit dengan aktiviti keganasan.

“DUPP menegaskan bahawa tiga NGO yang dikategorikan sebagai pengganas oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) sebagai tidak wajar dan jauh daripada realiti yang berlaku di lapangan.

“Walaupun memahami tiada kompromi dalam aspek keselamatan negara, namun kita juga harus berhati-hati dengan sebarang dakwaan yang dibuat organisasi antarabangsa khususnya berkait dengan kategori pengganas,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Ahmad memaklumkan, salah satu NGO yang disabitkan sebagai pengganas adalah NGO Persatuan Cinta Syria Malaysia yang ditadbir oleh Ustaz Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman.

Beliau merupakan adik kepada aktivis Ustaz Nadir Al-Nuri yang merupakan pemimpin utama NGO Cinta Gaza Malaysia selain MyAqsa Defenders.

“Kalau diikutkan klasifikasi pengganas, pertubuhan Hamas sendiri turut diletakkan sebagai organisasi pengganas antarabangsa (FTOs) oleh kerajaan Amerika Syarikat.

“Apakah kewajaran kumpulan yang mempertahankan dan memberikan bantuan kepada rakyat Palestin yang diseksa selama tujuh dekad ini dianggap sebagai pengganas?

“Oleh yang demikian, DUPP mengharapkan agar Wisma Putra dapat melakukan sesuatu untuk menangani polemik sebegini,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan tiga pemimpin daripada NGO Islam berasingan dari negara ini yang aktif menguruskan bantuan ke Asia Barat disenaraikan dalam Pusat Pemeriksaan Pengganas (TSC) oleh FBI.

Susulan itu, Kementerian Luar mengarahkan ketiga-tiga individu berkenaan tidak dibabitkan dalam Ops Ihsan yang menguruskan penghantaran bantuan kemanusiaan rakyat Malaysia kepada rakyat Palestin di Gaza.

Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, berdasarkan semakan dalam rekod keselamatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap 359 orang daripada 53 NGO yang menyertai Ops Ihsan, kesemuanya ‘bersih’.

Berita berkaitan;
https://ismaweb.net/2024/02/17/pemimpin-aman-palestin-dua-lagi-ngo-islam-disenarai-dalam-pusat-pemeriksaan-pengganas-fbi/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button