Berita UtamaDunia

Parti Konservatif UK gantung MP dakwa ‘Islamis’ kawal Datuk Bandar London

Kenyataan dikritik, ramai dakwa Lee Anderson cetuskan Islamofobia

LONDON, 15 Syaaban 1445H, Ahad – Parti Konservatif UK menggantung salah seorang Ahli Parlimennya, Lee Anderson, selepas mendakwa Datuk Bandar London, Sadiq Khan, berada di bawah kawalan ‘Islamis’.

Khan, orang Islam pertama menjadi Datuk Bandar London, sering menjadi sasaran kritikan Konservatif kerana pengendaliannya dalam dasar di ibu negara UK, termasuk perarakan pro-Palestin.

Speaker Dewan Parlimen, Lindsay Hoyle berkata, Anderson melanggar prosedur biasa Parlimen untuk pengundian kerana ancaman keganasan sebelum ini diterima beberapa Ahli Parlimen berikutan pandangan mereka mengenai konflik itu. 

Suara pro-Israel di UK, seperti Anderson, seakan menggambarkan pergerakan pro-Palestin sebagai berbahaya, walaupun majoriti responden British dalam beberapa tinjauan menyokong penamatan serangan Israel ke atas Gaza.

Bercakap kepada saluran televisyen GB News, Anderson berkata, “Saya sebenarnya tidak percaya golongan Islam ini telah menguasai negara kita. Tetapi apa yang saya percaya ialah mereka telah mengawal Khan dan mereka telah mengawal London.”

Kenyataannya mencetuskan kritikan dari seluruh spektrum politik, apabila Pengerusi Parti Buruh, Anneliese Dodds menggelar mereka sebagai perkauman dan Islamofobia.

Khan – yang kerap bercakap mengenai kepentingan memerangi anti-Semitisme, kebencian terhadap perempuan dan homofobia – memberitahu wartawan bahawa beliau menganggap komen Anderson sebagai perkauman dan Islamofobia.

Beliau menegaskan ianya akan ‘mencetuskan api kebencian anti-Muslim’.

Di tengah-tengah kritikan yang semakin meningkat terhadap kenyataan Anderson, Parti Konservatif memutuskan beliau tidak lagi boleh mewakili mereka di Parlimen.

“Ini kerana Anderson enggan memohon maaf,” kata jurucakap parti.  

Tinjauan yang dijalankan dari 16-18 Februari oleh Savanta menunjukkan bahawa 29 peratus rakyat Britain percaya Konservatif mempunyai masalah dengan Islamofobia, paling banyak berbanding parti politik utama. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button