Berita Utama

Suami isteri tersalah campur susu bayi dengan dadah

Bayi sukar dikawal, tak berhenti menangis

PETALING JAYA, 15 Syaaban 1445H, Ahad – Sepasang suami isteri yang berada di bawah pengaruh dadah ditahan polis selepas tersalah campur susu formula bayi mereka dengan cecair methamphetamine.

Kejadian yang hampir meragut nyawa bayi itu berlaku di sebuah flat di Taman Medan pada 19 Februari lepas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar@Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian yang dilaporkan oleh Hospital Kajang pada 20 Februari.

“Difahamkan, bayi berusia setahun empat bulan itu dihantar pasangan terbabit ke rumah neneknya berusia 55 tahun di Seri Kembangan pada hari kejadian.

“Semasa di bawah jagaan neneknya, bayi itu tidak berhenti menangis, terlalu aktif, dan sukar dikawal. Wanita itu kemudian bertanya kepada ibu bayi berkenaan punca kelakuan aneh bayi itu.

“Ketika itu, ibu berusia 34 tahun itu mengaku tersilap mencampurkan susu bayi dengan methamphetamine milik suaminya yang berusia 40 tahun,” katanya.

Ekoran itu, katanya, mereka menahan suami isteri itu di rumah mereka di Taman Medan pada 20 Februari.

“Ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas kedua-dua suspek mendapati mereka positif dadah.

“Semakan lanjut juga mendapati suspek lelaki yang bekerja sebagai penjual minuman di gerai itu mempunyai rekod berkaitan kes dadah,” katanya.

Shahrulnizam berkata, bayi itu kini dalam pemerhatian di Hospital Kajang dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

“Kedua-dua suspek direman tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button