Dunia

Netanyahu lulus operasi di Rafah minggu ini

Ikrar teruskan serangan meski amaran antarabangsa meningkat

TEL AVIV, 16 Syaaban 1445H, Isnin – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dijangka meluluskan rancangan operasi ketenteraan ke atas Rafah minggu ini.

Netanyahu akan mengadakan pertemuan dengan Kabinet Perang berhubung serangan di Rafah, termasuk pemindahan penduduk awam.

“Kita sedang berusaha mencapai satu lagi rangka kerja bagi pembebasan tebusan, serta penyelesaian penghapusan batalion Hamas di Rafah.

“Sebab itu saya menghantar delegasi ke Paris dan kita membincangkan langkah seterusnya dalam rundingan itu,” kata Netanyahu.¬†

Rafah ketika ini menjadi bandar terakhir yang tinggal untuk lebih sejuta penduduk Palestin berlindung di Gaza, ekoran kemusnahan teruk akibat serangan tanpa henti rejim Zionis.

Selama berminggu-minggu, ancaman Israel untuk melancarkan operasi darat di Rafah, bersebelahan sempadan Mesir semakin memuncak walaupun amaran serantau serta antarabangsa meningkat.

Rundingan untuk perjanjian pertukaran tebusan antara Israel dan Hamas bermula Jumaat di Paris yang diketuai Ketua Mossad, David Barnea, Perdana Menteri Qatar, Mohammed bin Abdulrahman Al Thani dan Ketua Perisikan Mesir, Abbas Kamel.

Media Israel mendakwa pasukan rejim telah kembali dari Paris dan memaklumkan bahawa rundingan berjalan dengan baik dan positif.

Rundingan itu menumpukan kepada empat tuntutan Hamas yang ditentang Tel Aviv, termasuk pemulangan semua penduduk di utara Semenanjung Gaza dan pemindahan pasukan tentera Israel dari kawasan itu.

Bagaimanapun, tiga lagi isu perbalahan wujud termasuk meningkatkan bantuan kemanusiaan, tempoh gencatan senjata dan bilangan tahanan Palestin yang akan dibebaskan.

Gencatan senjata sebelum ini antara Hamas dan Israel berlangsung selama seminggu dari 24 November hingga 1 Disember, di mana pertukaran tebusan dibuat dan bantuan kemanusiaan dibenarkan masuk ke Gaza.

Tel Aviv menganggarkan terdapat 134 tebusan Israel di Gaza, manakala rejim pula terus menangkap rakyat Palestin yang kini sudah mencecah 8,800 orang di penjaranya.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button