Berita UtamaDunia

Normalisasi Israel: ‘Jangan ikut jejak langkah UAE!’

Mahmoud Abbas sifatkan Abu Dhabi tikam belakang rakyat Palestin

BAITULMAQDIS, 1 Muharram 1442H, Khamis – Presiden Palestin, Mahmoud Abbas memberi amaran kepada negara-negara Arab untuk tidak mengikuti jejak Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Beliau berkata, UAE yang telah lama menggambarkan dirinya sebagai penyokong perjuangan Palestin – menikam bangsa itu dari belakang dengan berdamai dengan negara haram Israel.

Beliau membuat kenyataan itu dalam pertemuan bersama kepemimpinan Palestin di kota Ramallah di Tebing Barat, semalam yang turut dihadiri oleh wakil dari puak-puak Palestin yang berbeza, termasuk kumpulan Jihad Islam dan Hamas yang berpusat di Gaza.

Abbas mengingatkan negara-negara Arab bahawa berdasarkan Inisiatif Perdamaian Arab 2002, setiap normalisasi Israel harus dilakukan setelah kesepakatan dicapai antara Palestin dan Tel Aviv, dan bukan sebaliknya.

“Beberapa negara sudah mulai bergerak, baik secara terbuka mahupun secara rahsia…ini ditolak dan kami rakyat Palestin akan terus menolak ini, tidak kira negara mana yang melakukan ini. Anda mesti menghormati keputusan yang telah anda tandatangani,” katanya.

Abbas menyampaikan peringatan itu setelah terdapat beberapa laporan media yang memetik sumber, spekulasi bahawa Bahrain kemungkinan mengikuti jejak langkah Abu Dhabi dalam menormalkan hubungan dengan Israel.

Pada hari Selasa, media Israel menyebut sumber pemerintah Sudan mahu mengumumkan perjanjian normalisasi yang akan berlaku dengan Tel Aviv. 

Pemangku Menteri Luar Sudan bagaimanapun, menafikan terdapat perbincangan dengan Israel. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button