Berita Utama

Inisiatif rumah mampu milik perlu fokus belia

Sedia rangsangan kewangan untuk pekerja muda di bandar

BANGI, 9 Rejab 1444H, Selasa – Inisiatif kerajaan untuk mengkaji dan menyediakan rumah mampu milik di seluruh negara seharusnya memfokuskan kepada golongan belia.

Langkah itu selaras dengan lambakan projek perumahan yang dibina, namun akhirnya terbengkalai ekoran harga tidak masuk akal dan diluar kemampuan golongan berkenaan.

Ketua Penerangan BERJASA, Meor M Azim berkata, golongan berkenaan terpaksa terikat dengan tempoh pinjaman panjang sehingga 30 tahun bagi mendapatkan pemilikan sebuah rumah.

“Ini belum berbicara mengenai kesesuaian rumah yang dibeli, pelepasan pinjaman yang tidak diterima bank dan sebagainya.

“Adapun sekiranya menyewa, kerajaan perlu memperkenalkan perumahan mikro,” katanya sebagai mengulas isu kos sara hidup membabitkan harga rumah yang tidak masuk akal untuk golongan muda.

Mengulas lanjut, beliau berkata, golongan belia akan lebih berani untuk berhijrah ke luar negeri bagi mencari pekerjaan stabil sekiranya kos sewaan rumah setimpal dengan gaji permulaan bekerja.

“Baru saja nak mula bekerja, namun tidak mampu menyewa kerana rumah sekarang dibina untuk mampu tengok berbanding mampu beli.

“Pekerja muda perlukan rangsangan kewangan terutama bagi mereka yang duduk di kawasan bandar. 

“Ini bagi menggalakkan mereka memulakan kerjaya dengan selesa dan stabil serta dapat membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi setempat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button