Berita UtamaDunia

Colombia tuntut duta Israel mohon maaf

Digesa hormat Presiden, hubungan diplomatik dua negara tegang

BOGOTA, 2 Rabiulakhir 1445H, Selasa – Menteri Luar Colombia, Alvaro Leyva menuntut Duta Besar Israel, Gali Dagan untuk memohon maaf dan keluar dari negara itu.

Gesaan itu sehari selepas Presiden Colombia, Gustavo Petro mengancam untuk memutuskan hubungan dengan negara haram Israel kerana keputusan mereka menghentikan eksport bahan keselamatan ke Colombia, sebagai tindak balas terhadap pendirian krisis Timur Tengahnya.

Menerusi akaun X, Leyva menyifatkan Dagan sebagai kurang ajar dan menggesanya supaya menghormati presiden negara itu.

“Sejarah diplomasi sejagat akan mencatatkan sebagai peristiwa penting kekasaran tidak masuk akal duta Israel di Colombia terhadap Presiden Gustavo.

“Memalukan! Sekurang-kurangnya dia harus meminta maaf dan beredar. Kepintaran berhadapan dengan kepintaran. Terdapat negara yang dipertaruhkan,” katanya.

Kenyataan itu menguatkan lagi keadaan ketegangan diplomatik yang sudah meningkat antara Colombia dan Israel.

Bagaimanapun, Levya pada hantaran kemudiannya berkata, dia hanya menuntut penghormatan untuk Presiden Colombia, dan menafikan mengusir duta Israel terbabit.

“Saya tidak mengatakan bahawa duta Israel diusir,” dakwanya.

Sebelum ini, Kementerian Luar Israel memanggil duta Colombia dan menegurnya kerana komen ‘bermusuhan dan anti-Semitik’ oleh Presiden Petro, yang enggan mengutuk serangan Hamas ke atas Israel, meskipun ada gesaan daripada kerajaan Israel dan Amerika Syarikat (AS) untuk berbuat demikian.

Petro mengisytiharkan keengganannya untuk menyokong pembunuhan beramai-ramai dan menjanjikan bantuan kemanusiaan ke Gaza, di mana ribuan nyawa terkorban dalam serangan balas rejim Israel.

Susulan itu, Israel mengesahkan keputusan untuk berhenti menghantar peluru senjata ke Colombia, walaupun sebahagian besar senjata yang digunakan oleh Angkatan Bersenjata Colombia daripada Israel.

“Jika kami terpaksa memutuskan hubungan luar dengan Israel, kami akan lakukannya. Presiden Colombia tidak akan dihina,” kata Petro.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button