Berita UtamaDunia

Israel buat perangkap bunuh penduduk Palestin

Rejim sasar orang awam yang tunggu trak bantuan

GENEVA, 16 Syaaban 1445H, Isnin – Rejim Israel menjadikan koridor selamat – tempat penduduk Gaza boleh melakukan perjalanan ke selatan – perangkap untuk membunuh penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal.

Menerusi satu laporan, Pemantau Hak Asasi Manusia Euro-Med berkata, pihaknya telah mendokumentasikan pembunuhan orang awam Palestin di pusat pemeriksaan Wadi Gaza (Lembah Gaza), selepas mereka terpaksa melarikan diri dari Gaza ke kawasan al-Mawasi.

“Israel menyasarkan orang awam yang menunggu trak bantuan berhampiran pusat pemeriksaan,” kata agensi itu.

Menurut Euro-Med, tentera Israel membunuh sekurang-kurangnya 30 rakyat Palestin pada petang Ahad ketika mereka menunggu trak4 bantuan berhampiran bulatan al-Nabulsi di Jalan al-Rasheed, barat daya Bandar Gaza.

“Sangat ngeri apabila kereta kebal Israel menembak guna peluru artileri ke arah lebih 300 orang awam pada Khamis lalu, ketika mereka cuba melarikan diri dari Kota Gaza ke selatan Lembah Gaza.

“Walaupun mereka membawa bendera putih, mematuhi arahan tentera Israel, dan berjalan di jalan yang ditetapkan, mereka tetap menjadi mangsa serangan,” katanya.

Euro-Med berkata, ramai yang terkejut apabila kereta kebal Israel muncul dan melepaskan tembakan ke arah orang awam, membunuh 28 orang dan mencederakan kira-kira 80 lagi.

Susulan itu, pertubuhan hak asasi manusia mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan yang menyalahi undang-undang.

Euro-Med juga menyatakan bahawa pembunuhan beramai-ramai penduduk Gaza yang dipindahkan adalah contoh jenayah perang di bawah bidang kuasa Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

“Penyiasatan perlu dilakukan ke atas jenayah dan pelanggaran Israel terhadap rakyat Palestin, ini termasuk pembunuhan yang disengajakan,” katanya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button