Berita Utama

Gesa siasat video berunsur lucah babit bekas Ketua Pengarah J-KOM

Ahmad Fadhli sangkal dakwaan pembangkang terlibat

BANGI, 3 Jamadilawal 1445H, Jumaat – Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari menggesa siasatan segera dan telus dilakukan secepat mungkin bagi menjernihkan isu penyebaran video berunsur lucah membabitkan bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM).

Beliau berkata, walaupun kerajaan biasanya lambat bertindak, tetapi dalam perkara seperti ini perlu dipercepatkan.

“Kes ini hanya akan ada dua kemungkinan. Jika Wahab berkata benar, ia membuktikan bahawa ada elemen permainan kotor dalam agensi kerajaan khususnya lantikan politik.

“Manakala jika sebaliknya, satu tindakan wajib diambil oleh kerajaan bagi membersihkan agensi berkenaan dari tuduhan ini,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya, hari ini.

Terdahulu, Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff mendakwa, video perbualannya bersama individu bernama Wahab sebenarnya sudah disunting.

Video memaparkan perbualan jelik antara bekas Ketua Pengarah J-KOM itu dan Wahab tular di media sosial ketika Mohammad Agus dilapor menyerahkan surat peletakan jawatannya yang berkuat kuasa 15 Disember.

Mohammad Agus berkata, tindakan itu dipercayai dilakukan pihak tertentu yang sengaja mahu menjatuhkan reputasi beliau dengan menyebarkan video yang didakwanya sebagai palsu.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Fadhli yang juga Ketua Penerangan PAS menegaskan, tidak ada keterlibatan pihak pembangkang yang menyebabkan peletakan jawatan Mohammad Agus.

“Saya dapati ada juga yang bertindak menyalahkan pembangkang dalam hal ini.

“Padahal tidak ada langsung keterlibatan pihak pembangkang yang menyebabkan peletakan jawatan Ketua Pengarah J-KOM berkenaan, mereka berbalah sesama sendiri tiba-tiba disalahkan pihak lain,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button