Berita Utama

MBPP rampas gerai warga asing operasi tanpa lesen

Tujuh turut ditahan kerana tiada dokuman perjalanan sah

GEORGE TOWN, 2 Rabiulakhir 1445H, Selasa  –  Sebanyak empat gerai warga asing yang beroperasi tanpa lesen dirampas Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam operasi bersepadu pasar malam di kawasan Barat Daya negeri.

Menerusi kenyataan MBPP, Jabatan Pelesenan MBPP dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengadakan operasi bersepadu pasar malam bagi membanteras peniaga warga asing di kawasan Barat Daya.

“Unit Perniagaan Kecil MBPP telah memeriksa sebanyak 123 penjaja di pasar malam tersebut dan merampas barang perniagaan dari empat gerai warga asing yang menjual buah-buahan, bantal serta karpet.

“Anggota penguat kuasa MBPP mengangkut barangan yang dirampas sewaktu operasi di pasar malam daerah Barat Daya, kelmarin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, Jabatan Imigresen Malaysia turut menahan tujuh orang warga asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dalam operasi berkenaan.

“Sebanyak 12 kompaun telah dikeluarkan kepada pekerja-pekerja gerai menjual makanan yang tidak mengambil suntikan anti-tifoid,” katanya.

Pada masa sama, menurut MBPP, pihaknya telah memeriksa lima premis perniagaan dan telah mengeluarkan satu Notis Tentang Kesalahan kepada premis yang menjalankan perniagaan tanpa lesen.

“Satu Notis Tentang Kesalahan dan tiga kompaun telah dikeluarkan bagi kesalahan meletak peralatan dan barangan jualan di siar kaki yang mendatangkan halangan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button